Jumaat, 16 Julai 2010

REDtone lancar khidmat WiMAX di Miri

Penyedia perkhidmatan jalur lebar, REDtone, dengan rasminya melancarkan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayarnya WIMAX di Miri hari ini, sekali gus menandakan perluasan liputan perkhidmatan jalur lebarnya di Sarawak.



Ketua Pegawai Eksekutif REDtone Telecommunications Sdn. Bhd., Lau Bik Soon berkata, perluasan ini seiring dengan strategi syarikat untuk menembusi kawasan-kawasan yang sudah sedia ada permintaan untuk perkhidmatan mereka.



"Kami memfokuskan di kawasan-kawasan di mana terdapatnya wilayah perniagaan, pusat komersil, taman perindustrian dan premis beli-belah memandangkan pejabat ialah pasaran sasaran utama kami," kata beliau pada taklimat media di sini.



Di bawah pengembangan mereka di Miri, beliau berkata REDtone yang menguasai lesen 2.3GHz WiMAX untuk Sarawak dan Sabah, akan memberi tumpuan kepada lima kawasan berpopulasi di sini seperti sekitar Jalan Tanjong, Yi Hai Hai, Piasau, Lutong dan Senadin.



Beliau berkata, dalam menyampaikan perkhidmatan jalur lebar mereka, REDtone tidak akan bergantung sepenuhnya kepada WiMAX tetapi turut memanfaatkan teknologi-teknologi lain termasuk satelit, Metro E dan gelombang mikro.



"Kami akan menggunakan teknologi hibrid jika permintaan memerlukan kami berbuat demikian," kata beliau.



Selain daripada Miri, perkhidmatan jalur lebar WIMAX syarikat di negeri itu juga boleh didapati di sebahagian besar Kuching sementara di Sabah, perkhidmatan serupa boleh dinikmati di Kota Kinabalu. - Bernama

Pembetulan teknikal Bursa tinggi

Harga saham di Bursa Malaysia lebih rendah pada akhir dagangan hari ini kerana pembetulan teknikal berikutan kenaikan dalam tujuh hari berturut-turut dari minggu lepas, kata peniaga.



Pada akhir sesi petang, Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) turun tujuh mata atau 0.522 peratus kepada 1,334.08, diseret turun oleh kejatuhan di kaunter-kaunter berwajaran tinggi seperti Genting Malaysia dan CIMB Group.



Indeks utama itu dibuka 1.5 mata lebih rendah pada 1,339.58 pagi tadi berbanding 1,341.08 pada penutupan semalam. Sepanjang hari ini, ia bergerak di antara 1,331.2 dengan 1,340.11.



Pada penutupan dagangan hari ini, Indeks Perusahaan susut 3.79 mata kepada 2,659.48, Indeks Perladangan turun 20.87 mata kepada 6,299.38 dan Indeks Kewangan jatuh 42.91 mata kepada 12,048.68.



Indeks FBM Emas merosot 33.649 mata kepada 9,019.41, Indeks FBM70 menokok 7.94 mata kepada 9,061.79 dan Indeks FBM Ace susut 19.12 mata kepada 3,766.32.



Saham rugi mengatasi saham untung dengan jumlah 391 berbanding 241 manakala 289 kaunter tidak berubah, 443 tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung urus niaga.



Jumlah dagangan mengecil kepada 619.65 juta saham bernilai RM1.128 bilion daripada 801.666 juta saham bernilai RM1.538 bilion pada penutupan semalam.



Antara saham cergas, Time Dotcom kekal pada 52 sen, Xidelang menambah 1.5 sen kepada 44.5 sen dan Titan Chemicals naik tujuh sen kepada RM1.85, Maybank dan Maxis turun dua sen setiap satu, kepada RM7.69 dan RM5.30.



Jumlah dagangan Pasaran Utama mengecil kepada 576.92 juta saham bernilai RM1.121 bilion daripada 734.274 juta saham bernilai RM1.525 bilion semalam.



Pasaran Ace menyaksikan perolehan dagangan berkurangan kepada 20.992 juta unit bernilai RM2.764 juta daripada 38.222 juta unit bernilai RM5.312 juta sebelumnya.Waran susut kepada 19.406 juta saham bernilai RM2.481 juta daripada 24.446 juta saham bernilai RM4.041 juta semalam.



Barangan pengguna menguasai 65.831 juta saham yang diniagakan di Papan Utama, barangan perusahaan 119.538 juta, pembinaan 74.28 juta, perdagangan dan perkhidmatan 143.004 juta, teknologi 11.609 juta, prasarana 53.473 juta, kewangan 48.014 juta, hotel 472,400, harta 38.538 juta, perladangan 12.246 juta, perlombongan tiada, REIT 9.87 juta, dan dana tertutup 45,600. - Bernama