Jumaat, 28 Ogos 2009

Operasi 'Pasaran Utama' dan ACE

PAPAN Utama dan Papan Kedua Bursa Malaysia akan digabungkan dan dikenali sebagai ‘Pasaran Utama’ manakala Pasaran Mesdaq pula dikenali sebagai ‘Pasaran ACE’, sejajar usaha untuk membolehkan akses yang lebih cekap kepada pasaran modal dan pelaburan tempatan.

Pembentukan ‘Pasaran Utama’ dan ‘Pasaran ACE’ menerusi kerangka baru keperluan penyenaraian dan penjanaan dana ekuiti di pasaran modal tempatan itu, akan berkuat kuasa 3 Ogos ini. ACE adalah akronim bagi ‘Access’ (Akses), ‘Certainty’ (Kepastian) dan ‘Efficiency’ (Kecekapan).

Penggabungan Papan Utama dan Papan Kedua kepada satu papan tunggal itu adalah bagi penyenaraian syarikat yang disenaraikan, manakala perubahan pasaran Mesdaq kepada sebuah pasaran alternatif yang terbuka adalah bagi kemasukan penyenaraian syarikat pelbagai saiz semua sektor ekonomi.

Di bawah struktur baru papan urus niaga Bursa Malaysia itu , Pasaran Utama akan mengumpulkan syarikat terkemuka yang lebih stabil dan mempunyai rekod prestasi yang cemerlang.

Pasaran ACE pula akan menjadi pasaran alternatif yang dikhususkan bagi syarikat sedang berkembang dari semua sektor dan saiz.

Mengulas perkembangan ini, Naib Presiden Kanan dan ketua jabatan Penyelidikan Midf Amanah Investment Bhd, Zulkifli Hamzah, berkata pengabungan Papan Utama dan Papan Kedua akan mengatasi masalah penumpuan berlebihan khususnya dikalanagan pelabur istitusi antarabangsa ke atas saham Papan Utama berbanding kaunter Papan Kedua.

Bermula 3 Ogos 2009 Syarikat Papan Utama dan Kedua disatukan menjadi ‘Pasaran Utama’ yang dikhususkan bagi syarikat yang telah diiktiraf dari segi rekod keuntungan bersih, iaitu minimum RM20 juta dalam tempoh tiga hingga lima tahun dan keuntungan bersih minimum terkini RM6 juta, serta modal pasaran minimum RM500 juta.

Pasaran ‘ACE’ pula, penyenaraian dipasaran itu dibuka kepada semua syrarikat dalam semua sektor perniagaan tanpa mengenakan syarat rekod pendapatan, operasi dan keuntungan, manakala harga terbitan minimum 50 sen sesaham dihapuskan

Perubahan dilakukan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia itu juga bertujuan menjadikan Bursa Malaysia sebagai sebuah platform yang lebih menarik bagi penyenaraian syarikat dari dalam dan luar negara.

Kerangka baru penjanaan dana ekuiti dan struktur baru papan dagangan Bursa Malaysia itu dilancarkan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah di ibu pejabat SC di Kuala Lumpur, semalam.

Perubahan struktur itu turut membabitkan peralihan penting dalam pendekatan kawal selia bagi penyenaraian dan penjanaan dana ekuiti.

Pengerusi SC, Datuk Seri Zarinah Anwar, berkata peralihan kepada satu pendekatan kawal selia yang lebih berasaskan pasaran itu, bertujuan meningkatkan kecekapan dan daya saing pasaran modal tempatan tanpa menjejaskan tahap perlindungan kepada pelabur.

“Ini adalah proses perubahan paling menyeluruh yang diambil setakat ini membabitkan kajian semula pendekatan pengawalseliaan sedia ada,” Katanya berucap pada majlis pelancaran semalam.

SC dan Bursa Malaysia dalam kenyataan bersama berkata, dalam mengkaji kerangka baru itu, kedua-dua pihak sudah mengadakan rundingan secara meluas dengan pihak industri dan orang awam membabitkan kira-kira 300 sesi perbincangan.

Katanya, menerusi kerangka baru itu, peraturan dan proses bagi penjanaan dana ekuiti dikemaskinikan bagi memberikan keyakinan yang lebih besar, tempoh disenaraikan lebih singkat dan kos kawal selia pula akan menjadi lebih rendah.

Semua cadangan korporat berasaskan ekuiti seperti pengambilalihan, selain pengambilalihan berbalik dan penyenaraian secara tidak terus, pelupusan, penempatan sekuriti, tawaran hak dan penerbitan waran, tidak lagi memerlukan kelulusan SC terlebih dulu.

“SC sebaliknya akan terus menyemak dan mendaftarkan prospektus bagi memastikan penzahiran yang mencukupi dan bermakna kepada pelabur.

“Bursa Malaysia akan mengambil peranan yang lebih aktif sebagai pengawal selia hadapan bagi penjanaan dana ekuiti sekunder,” kata kenyataan itu.

Satu lagi pembaharuan penting adalah kepada Pasaran ACE iaitu penghapusan penentuan keperluan rekod prestasi minimum bagi kemasukan ke dalam pasaran alternatif itu memandangkan penaja atau bank pelaburan akan diberikan kuasa menilai kesesuaian permohonan penyenaraian.

Sistem sedia ada yang memerlukan khidmat penaja sekurang-kurangnya bagi tempoh tiga tahun oleh penerbit tersenarai masih dikekalkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan