Jumaat, 28 Ogos 2009

Untung Rugi Saham Bergantung Kepada Jenis Saham

Saham tidak semestinya tergolong dalam satu jenis pengkelasan saja. Saham mewah bermaksud saham syarikat yang mempunyai kedudukan kewangan yang mantap dan cemerlang. Istilah cip biru (blue chips) sebenarnya berasal daripada permainan poker di mana cip biru mempunyai nilai tertinggi berbanding cip putih atau merah.

Syarikat cip biru ini seharusnya mempunyai rekod perniagaan yang bagus dan berprestasi cemerlang, di samping mempunyai kedudukan kecairan yang tinggi dan modal ekuitinya lebih tinggi daripada hutang atau pinjamannya.

Selain itu, syarikat juga mencatat keuntungan berterusan dan mempunyai rekod pembayaran dividen yang stabil. Harga saham juga sentiasa stabil. Saham pertumbuhan (growth shares) pula adalah saham syarikat yang mempamerkan pertumbuhan pesat dari segi keuntungan.

Perolehan syarikat meningkat dengan kadar yang lebih cepat berbanding kadar pertumbuhan ekonomi keseluruhan sesebuah negara dan purata industri. Saham pendapatan (income shares) pula adalah saham syarikat yang mampu membayar dividen yang tinggi dari tahun ke tahun walaupun pertumbuhan keuntungannya tidak begitu menggalakkan.

Syarikat dalam kategori ini kebiasaannya terbabit dalam sektor ultiliti dan industri yang kalis kemelesetan. Saham pusingan (cyclical shares) pula lebih kepada saham syarikat yang dipengaruhi secara langsung oleh keadaan ekonomi negara atau situasi ekonomi global. Prestasi syarikat terbabit naik dan turun mengikut pusingan ekonomi semasa.

Ketika keadaan ekonomi memberangsangkan, prestasi syarikat terbabit turut meningkat dengan kadar yang tinggi dan sahamnya menjadi popular dikalangan pelabur dan sebaliknya. Syarikat yang tergolong dalam kategori ini adalah seperti industri yang berasaskan permintaan pengguna khususnya perumahan, kereta dan perladangan.

Saham bertahan (defensive shares) bermaksud saham syarikat yang berkeupayaan menunjukkan prestasi yang baik dari segi purata keuntungan dan pembayaran dividen walaupun di dalam suasana kemelesetan ekonomi.

Saham spekulatif merujuk kepada saham syarikat yang tidak mempunyai kestabilan harga. Harga saham syarikat terbabit tinggi walaupun tidak mempamerkan prestasi kewangan cemerlang. Biasanya harga sahamnya meningkat dan menurun dengan cepat.

Sumber : http://main-saham.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan