Rabu, 11 Ogos 2010

Mutiara Jepun Meiwa mahu bertapak di Sabah

Pemborong barang kemas mutiara set dan berbutir, Meiwa Co Ltd yang menyasarkan untuk bertapak di pasaran Sabah, yakin bahawa syarikat itu akan memberi saingan sihat pada mutiara tempatan.



Meiwa, yang merupakan pemborong mutiara Lautan Selatan dan Akoya memasuki pasaran Malaysia pada 2004 dengan menyertai beberapa pameran barang kemas di Kuala Lumpur setiap tahun.



Hujung minggu lepas, syarikat itu mengambil satu lagi langkah untuk mempromosikan mutiara mereka di Sabah pada Pameran Barang Kemas Antarabangsa Malaysia yang diadakan di sini.



Pengarahnya, Hideyuki Nagai berkata, syarikat itu yang ditubuhkan pada 1975 dan berpangkalan di Kobe, Jepun itu juga telah menyertai secara agresif dalam beberapa pameran barang kemas di Hong Kong, Singapura, Korea dan Thailand selain Jepun.



"Kami telahpun menarik beberapa peruncit daripada Arab Saudi, United Kingdom, Asia Timur dan negara di Asia Pasifik. Dan kami mendapat banyak pertanyaan daripada peruncit Amerika yang berminat untuk membeli secara borong daripada kami," katanya kepada Bernama pada pameran itu.



Meiwa mampu menawarkan harga borong yang menarik kerana syarikat itu membeli mutiara daripada beberapa firma lelong yang besar atau ladang mutiara. Mutiara Akoya berasal dari Jepun manakala mutiara Lautan Selatan dibeli dari ladang mutiara di Australia dan Tahiti, kata Hideyuki.



"Para pelangan kami berkata kami menyediakan mutiara berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan. Jadi, kami melihat potensi untuk membekalkan mutiara itu ke pasaran Sabah, kerana orang di sini lazimnya pandai menghargai barang kemas dari mutiara," katanya.



Pameran Barang Kemas Antarabangsa Malaysia (Kota Kinabalu, Sabah) yang diadakan pada 6 dan 8 Ogos itu merupakan pameran barang kemas antarabangsa yang terbesar di Sabah dan Sarawak, dengan mempromosikan lebih 100,000 barang kemas utama dunia, yang mana lebih 30 pemamer termasuk daripada Malayisa, Hong Kong, Singapura, Kemboja dan Jepun mengambil bahagian.



Mengulas mengenai respons daripada pameran barang kemas di Kota Kinabalu, beliau berkata pameran itu baik dan selain menawarkan pembenangan percuma bagi mutiara yang dibeli itu, satu sijil ketulenan mutiara juga dikeluarkan kepada pengguna.



"Selain individu yang membeli set barang kemas mutiara, terdapat juga pertanyaan daripada peruncit di sini yang mahu membeli mutiara itu pada harga borong daripada kami," katanya. - BERNAMA



Perolehan kiriman wang RM5b

Bank Muamalat Malaysia Bhd. (Bank Muamalat) menyasarkan perolehan sebanyak RM5 bilion dalam perkhidmatan pengiriman wang antarabangsa menerusi Western Union Company (WU).

Malah, bank itu menjangkakan segmen perniagaan itu mencatatkan pertumbuhan antara 20 hingga 25 peratus setahun, bermula tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid berkata, perkhidmatan pengiriman wang yang ditawarkan oleh WU itu boleh diperoleh melalui 56 buah cawangan dan pusat perkhidmatan Bank Muamalat di seluruh negara.

“Perkhidmatan baru yang ditawarkan ini akan membantu serta memberi kemudahan kepada para pelanggan terutamanya imigran untuk menghantar wang di negara masing-masing,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani dokumen perjanjian kerjasama antara Bank Muamalat dan Western Union di sini hari ini.

Hadir pada majlis ialah Naib Presiden Serantau Western Union, Ratheesh Kumar, Naib Pengarah Malaysia Western Union, Anand Kadakol dan Naib Presiden Kanan, Bahagian Perbankan Pengguna Bank Muamalat, Benedict Ho Kok Keong.

Sementara itu, Mohd. Redza Shah memberitahu, sehingga kini Bank Muamalat telah mengeluarkan pembiayaan sebanyak RM10 bilion.

“Kami tidak mahu melakukan tarikan pelanggan secara keterlaluan dalam pertumbuhan pembiayaan, sebaliknya melakukannya secara sederhana (moderate) bagi memastikan ia berpadanan dengan profail bank,’’ katanya.

Beliau menambah, kadar hutang tidak berbayar (NPL) Bank Muamalat juga disasarkan sebanyak 6.2 peratus pada tahun kewangan semasa dan setakat ini NPL bank itu melepasi purata industri.

Ketika ditanya mengenai pembukaan cawangan baru, beliau berkata, sebanyak tiga hingga empat cawangan akan dibuka pada tahun kewangan semasa dengan anggaran kos pelaburan sebanyak RM700,00 hingga RM1 juta untuk setiap cawangan.

“Hari ini sahaja kami membuka dua buah lagi bank cawangan Bank Muamalat di pantai timur,’’ ujarnya.



Swiss-Garden jangka pertumbuhan pantas

Swiss-Garden International Sdn. Bhd. merancang membangunkan lebih banyak hotel di Malaysia.



Naib Presiden Pembangunan Perniagaannya, Lily Chiok berkata, kumpulan itu menjangkakan pengembangan pantas dalam tempoh tiga tahun akan datang.



Kumpulan itu juga merancang untuk memeterai kontrak pengurusan hotel, katanya.



"Ketika ini, kami mempunyai satu projek di Butterworth iaitu Swiss-Garden Hotel & Residences dan disasarkan siap dalam tempoh dua atau tiga tahun.



"Kami akan melaksanakan konsep yang sama bagi projek Butterworth Swiss-Garden Hotel & Residences untuk sejajar dengan label jenama Swiss-Garden," katanya kepada pemberita di kempen teksi bersempena dengan pengenalan Swiss-Garden Hotel & Residences Kuala Lumpur, di sini, hari ini.



Swiss-Garden Hotel & Residences Kuala Lumpur terdiri daripada 478 unit apartmen dengan keluasan daripada 550 kaki persegi hingga 2,700 kaki persegi dan dijangka siap awal tahun depan.



Pengurus Besarnya, Rayan Komatt berkata, semua unit apartmen telah dijual dengan 80 peratus pembeli telah pun mengambil pulangan terjamin.



"Pembeli kami datang dari seluruh rantau seperti Singapura, Hong Kong, beberapa pembeli dari Indonesia, dan sudah tentunya dari Malaysia," kata Komatt.



"Dari segi penghunian residen, kami menyasar purata 45 peratus dalam tahun pertama operasi," katanya. - BERNAMA



Kembangkan hubungan jalur lebar - Picket

Hubungan jalur lebar negara perlu dikembangkan lagi, kata Ketua Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia, Vincent Picket.



Katanya, kegagalan untuk cepat bertindak akan mengakibatkan kehilangan peluang perniagaan dan paras kompetitif relatif negara akan berkurangan kerana momentum pertumbuhan jalur lebar di negara-negara jiran adalah lebih baik.



''Ia juga perlu kerana aplikasi efektif dan perkhidmatan jalur lebar akan membantu menjana pembangunan," katanya ketika menyampaikan ucaptama perbincangan meja bulat mengenai jalur lebar sebagai pemangkin pertumbuhan di sini hari ini.



Antara ahli panel bagi perbincangan tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif Time Dot Com, Afzal Rahim; Pengarah Kanan Divisyen MYICMS, Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia, Zamani Zakaria; Ketua Pegawai Eksekutif Digi Telecomunications, Henrik Clausen; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif ING Insurance Bhd., Datuk Dr. Nirmala Menon dan Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Maklumat Asia Pasifik DHL, Heinz Luck.



Ia telah dipengerusikan oleh Ketua Jawatankuasa Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Dewan Perdagangan dan Industri Kesatuan Eropah-Malaysia (EUMCCI), Krishnakumar Guda.



Tambah Picket, Model Baru Ekonomi (MBE) yang diperkenalkan kerajaan juga dapat membantu memberikan maklum balas baik kepada jalur lebar negara.



''Liberalisasi berterusan bagi sektor telekomunikasi akan membantu merangsang aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia. Kerjasama lebih erat dengan sektor swasta untuk mengurangkan beban kewangan adalah perlu.



''Ia penting kerana FDI membantu meningkatkan modal pelaburan dan membuka peluang pekerjaan serta memantau peralihan teknologi dan meningkatkan skil tenaga kerja," jelasnya.



Picket berkata, jalur lebar merupakan instrumen baru untuk pembangunan dan perlu mempunyai strategi yang luas bagi membantu Malaysia mencapai pertumbuhan yang diinginkan.



Menurut Picket, EU komited terhadap visi masyarakat maklumat global dengan menyokong Rangkaian Maklumat Trans Eurasian (TEIN).



''Di bawah Program Rangka Kerja Ketujuh (FP7), EU turut menyokong pembangunan dan penyelidikan antarabangsa dalam ICT dengan nilai euro 9 bilion (RM37.53 juta) sejak tujuh tahun lalu. Malaysia juga merupakan penerima manfaat tersebut," katanya.



Sementara itu, Afzal berkata, Malaysia juga perlu menggalakkan perkembangan pembangunan kandungan tempatan dalam usaha untuk mengurangkan kos serta mengurangkan penggantungan kepada penyedia kandungan antarabangsa.



''Ia juga dapat mengurangkan harga perkhidmatan tersebut," katanya

Jualan pembuatan Jun meningkat 13.8 peratus

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Jualan pembuatan berkembang 13.8 peratus pada Jun kepada RM44.8 bilion daripada RM39.4 bilion setahun lepas dan meningkat 1.4 peratus berbanding dengan RM44.2 bilion jualan bulan Mei sebelum itu.



Berasaskan komulatif, nilai jualan sektor pembuatan dari Januari hingga Jun tahun ini mencatatkan pertumbuhan dua angka 20.8 peratus kepada RM261.7 bilion.



Di dalam satu kenyataan di sini hari ini, Jabatan Perangkaan berkata, peningkatan tahun ke tahun dijana oleh pertumbuhan nilai jualan 64 industri (55.2 peratus) daripada 116 industri yang diliputi di dalam kaji selidik itu.



Lima industri utama yang jualannya meningkat secara signifikan ialah pembuatan produk petroleum bertapis (11.8 peratus), pembuatan kenderaan bermotor (79.4 peratus), pembuatan penerima televisyen dan radio, rakaman bunyi atau video atau perlatan rakaman semula dan barangan berkaitan (39.0 peratus), pembuatan plastik dalam bentuk utama dan daripada getah tiruan (65.0 peratus), dan pembuatan kimia perindustrian asas lain kecuali baja dan sebatian nitrogen (18.1 peratus).



Sementara itu, jabatan itu berkata, peningkatan nilai jualan berbanding dengan Mei adalah berikutan pertumbuhan nilai jualan 71 industri (61.2 peratus) daripada 116 industri yang diliputi dalam kaji selidik itu.



Lima industri utama yang mencatatkan peningkatan jualan termasuk pembuatan injap dan tiup elektronik dan papan litar bercetak (17.4 peratus), pembuatan komputer dan peranti komputer (11.6 peratus), pembuatan produk petroleum bertapis (1.9 peratus), pembuatan pemancar televisyen dan radio dan peralatan talian telefon dan telegraf (18.8 peratus) dan pembuatan kenderaan bermotor (5.5 peratus).



Pada Jun, jumlah pekerja bergaji bagi sektor itu ialah 982,661, yang meningkat 0.6 peratus daripada bulan sebelum itu dan meningkat 5.3 peratus daripada 932,791 orang pada Jun tahun lepas.



Gaji dan upah yang dibayar pada Jun meningkat 0.6 peratus kepada RM2.187 bilion berbanding Mei dan ia meningkat 10.3 peratus berbanding Jun 2009.



Di segi produktiviti, iaitu purata nilai jualan setiap pekerja, telah meningkat 0.8 peratus pada Jun untuk dicatatkan RM45,621 berbanding bulan sebelum itu dan meningkat 8.0 peratus berbanding Jun tahun lepas. - BERNAMA