Sabtu, 23 Oktober 2010

Bursa saham terbesar di dunia

The Singapore Exchange (SGX) kini dalam perbincangan untuk mengambil alih ASX Ltd. (ASX), yang bakal menjadikannya bursa saham terbesar dunia dengan modal pasaran bernilai AS$14 bilion (RM43.54 bilion).

Saham-saham di ASX dan SGX telah digantung pada hari ini.
ASX berkata, kedua-dua pihak sedang berbincang dengan pihak berkaitan terhadap kemungkinan penggabungan perniagaan tetapi enggan mengulas lanjut.

SGX dijangka membuat bidaan pengambilalihan penuh Isnin ini, lapor akhbar Australia di laman web.
Ia berkata, UBS sedang menasihati ASX bagi perjanjian itu sementara Morgan Stanley akan bertindak sebagai wakil SGX.

ASX merupakan pengendali bursa ketiga terbesar di Asia, berkata pada bulan lalu, mereka sedang berbincang dengan pihak lain.

''Satu pihak baru-baru ini telah mengaktifkan semula perbincangan sulit dengan ASX mengenai kemungkinan penggabungan perniagaan,'' kata ASX dalam kenyataan tanpa mengulas lanjut.

ASX sedang mencari peluang perniagaan baru pada masa hadapan selepas berakhirnya monopoli mereka pada 2011.

SGX mempunyai pasaran modal sekitar AS$8 bilion (RM24.88 bilion), manakala ASX pada nilai AS$5.9 bilion (RM18.34 bilion) pada penutup dagangan di Sydney hari ini.

ASX dan bursa saham Asia lain sedang melabur dalam teknologi baru bagi sistem dagangan alternatif dan meningkatkan kapasiti untuk mengendali dagangan besar serta pada masa yang sama mengurangkan yuran.

Pada Mac lalu, kerajaan Australia telah meluluskan prinsipal lesen pasaran untuk Chi-X Australia Pty Ltd, yang dijangka beroperasi pada 2011.

''ASX sedar terhadap kedudukan aliran tunai yang berisiko untuk berkurangan, maka ia bukan sesuatu yang mengejutkan sekiranya mereka mencari penggabungan,'' kata Daniel Manley dari Burrell & Co.

''Pendedahan di pasaran Asia adalah apa yang diinginkan pada masa ini dan pasaran saham juga tiada bezanya. Ia merupakan kawasan pertumbuhan besar bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang dan ia adalah langkah logik,'' katanya.

Jurucakap ASX enggan memberi maklumat lanjut. - Reuters