Sabtu, 19 Jun 2010

BNM: Tidak tolak tanpa sebab

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menafikan dakwaan bahawa pihaknya menolak tanpa sebab cadangan Affin Holdings Bhd. (Affin Holdings) untuk menguasai keseluruhan kepentingan EON Capital Bhd. (EONCap).


BNM dalam kenyataannya di sini berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada Affin Holdings tentang dua isu yang perlu dipenuhi untuk membolehkan permohonannya dipertimbangkan.


Bank Pusat berkata, Affin Holdings bagaimanapun tidak mengambil tindakan lanjut berkaitan isu tersebut sedangkan makluman berkenaan penting untuk memastikan tidak berlakunya pelanggaran peraturan sedia ada dan entiti yang digabungkan kekal mapan.


Difahamkan Affin Holdings bertindak demikian kerana tidak lagi berminat untuk membuat tawaran baharu bagi memiliki EONCap.

BNM berkata demikian sebagai mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa pihaknya menolak tanpa sebab cadangan Affin Holdings untuk mengambil alih EONCap.


Bank Pusat itu menjelaskan, sememangnya sudah menjadi prosedurnya untuk memaklumkan kepada mana-mana pihak yang berminat untuk memulakan proses penggabungan dan pengambil alihan terhadap beberapa isu yang perlu dilihat dan syarat yang perlu dipenuhi sebelum sebarang kelulusan diberikan.


''Maklumat lanjut perlu disediakan oleh pihak yang mengemukakan cadangan dalam beberapa perkara sekiranya mereka ingin meneruskan aktiviti pengambil alihan itu.


''Antara isu yang mungkin akan dibangkitkan adalah cadangan pemilikan itu haruslah tidak melanggar undang-undang dan peraturan sedia ada. Mereka juga perlu menunjukkan kekuatan dan kemapanan (sustainability) entiti baru itu,'' kata BNM.


Bank Pusat itu berkata, pihak yang mengemukakan cadangan juga perlu mempunyai kemampuan untuk menyediakan pembiayaan penggabungan yang tidak akan menyebabkan berlakunya lebihan leveraj.


''Kumpulan itu juga perlu mempunyai kemampuan untuk menyuntik dana ke dalam gabungan entiti bagi memenuhi kehendak perakaunan, modal dan keperluan perundangan serta kemampuan untuk mengharungi kemelesetan ekonomi.


''Mereka juga perlu mempunyai kemampuan untuk membiayai kos integrasi selepas gabungan. Selain mempunyai pelan integrasi untuk menangani isu gabungan seperti cara bekerja, sistem teknologi maklumat (IT) dan proses kerja gabungan,'' jelasnya.


BNM berkata, kehadiran lembaga pengarah dan pengurusan yang kukuh juga adalah perlu untuk melaksanakan pelan integrasi itu.


Affin Holdings sebelum ini dilaporkan berminat untuk menguasai kepentingan selepas Hong Leong Bank Bhd. (HLBB) dengan menawarkan membeli keseluruhan aset dan tanggungan EON Capital dengan harga RM4.9 bilion tunai atau RM7.10 bagi setiap saham EON Cap.


EONCap adalah syarikat pegangan EON Bank yang mempunyai rangkaian 140 cawangan manakala HLBB merupakan pemberi pinjaman keenam terbesar di negara ini dengan 199 cawangan dan pusat jualan.


Sumber : Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan