Khamis, 18 November 2010

UNIQLO dijangka beri saingan

Cawangan butik pertama UNIQLO di Kuala Lumpur.


Jenama fesyen UNIQLO yang baru membuka cawangan pertamanya di Malaysia, dijangka memberi persaingan sengit bagi Zara, MNG dan H&M kerana menjanjikan tawaran harga yang jauh lebih murah.


Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Fast Retailing Co. Ltd., Tadashi Yanai (gambar) berkata, UNIQLO memang menawarkan harga yang lebih munasabah, selari dengan matlamatnya untuk membolehkan semua orang diberi peluang memakai pakaian berkualiti pada harga yang murah.


‘‘UNIQLO bukan untuk golongan tertentu kerana harga yang ditawarkan bagi setiap pakaiannya sesuai untuk semua pembeli di seluruh dunia.

‘‘Kami mahu semua orang di dunia ini, dari golongan atasan dan bawahan memakai jenama ini kerana kualitinya,’’ katanya ketika ditemui di sini.

Butik pertama UNIQLO bertempat di Fahrenheit 88, Kuala Lumpur merupakan cawangan terbesar jenama itu di rantau Asia Tenggara.

UNIQLO adalah butik pakaian kasual yang diwujudkan buat kali pertama di Hiroshima, Jepun pada 1984 dan sehingga hari ini ia memiliki 900 cawangan di seluruh dunia. Ia juga adalah jenama isi rumah yang popular di Jepun.

Fast Retailing yang turut mengeluarkan jenama Theory, Helmut Lang, Comptoir Des Cotonnier, Princess tam.tam, g.u dan Candish bekerjasama dengan DNP Clothing Sdn. Bhd. untuk membuka cawangannya di sini.

Ia membabitkan perkongsian saham 55 peratus oleh UNIQLO manakala bakinya oleh DNP Clothing Sdn. Bhd. Yanai, yang juga individu terkaya di Jepun itu percaya dengan strategi UNIQLO itu, jenama tersebut bakal mengatasi Zara, MNG dan H&M dalam tempoh lima tahun lagi.

Mengulas mengenai peluasan UNIQLO di Kuala Lumpur, Yanai yang juga pengasas jenama itu berkata, bandar raya ini mampu memberi potensi perniagaan kepada produk tersebut.

Tambahnya, UNIQLO tidak mempunyai sebarang strategi tertentu untuk menguasai pasaran jenama tersebut di Malaysia, sebaliknya ia sama dengan cawangan-cawangan lain di seluruh dunia.

‘‘UNIQLO mempertaruhkan pakaian dan fesyen yang sama di seluruh dunia pada harga rendah tetapi kualiti yang sama dengan jenama-jenama terkenal lain.

‘‘Setakat ini, UNIQLO mendapat sambutan begitu baik, memandangkan operasi di Malaysia terlalu baru. Tetapi saya percaya jenama ini mampu menguasai pasaran runcit fesyen di negara ini,’’ ujarnya.
 

Keresa Plantations sasar pengeluaran MSM 27,000 tan sehektar

Keresa Plantations Sdn. Bhd., syarikat perladangan kelapa sawit pertama Sarawak yang memperoleh pensijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), menyasarkan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) sebanyak 27,000 tan sehektar, kata Pengarah Urusannya, Graeme Iain Brown hari ini.



Beliau berkata, syarikat perladangan bersaiz kecil itu, yang memiliki 6,023 hektar ladang di Tubau, Bintulu, sedang mengenal pasti pelbagai pihak, termasuk Sime Darby dan Wilmar International, untuk menjalin perjanjian dalam tempoh beberapa minggu akan datang.



"Kami terbuka untuk semua pasaran (eksport) bagi menghasilkan sejumlah 30,000 tan MSM setahun," katanya kepada pemberita selepas penyerahan sijil di pensijilan itu di sini.



Turut hadir ialah Pengerusi Keresa Plantations Datuk Amar Leonard Linggi Jugah, yang juga Pengerusi Keresa Mill Sdn. Bhd., dan Pengarah Urusan BSI Group Asean Alwi Abdul Hafiz.



Brown berkata, syarikat itu sedang mengusahakan satu skim untuk memasukkan pekebun kecil penduduk asal untuk menghantar produk MSM mereka ke kilangnya selain pensijilan yang serupa untuk tiga lagi ladang milik Keresa yang membabitkan sejumlah 16,000 hektar antara Bintulu dan Miri.



Syarikat perlu mengkaji semula cara ia menjalankan perniagaan terutama apabila negara seperti Belanda komited untuk memperoleh 100 peratus minyak sawit yang memperoleh pensijilan lestari menjelang 2015 selain sebagai pengeluar utama atau peruncit seperti Unilever, Body Shop dan Tesco, katanya.



Brown berkata, tanggapan umum di Eropah ialah Sarawak menebang hutan hujan dan kerap didakwa oleh beberapa segmen bahawa produk minyak sawit dikaitkan dengan penebangan hutan, pemusnahan alams ekitar dan pertikaian mengenai tanah.



Alwi berkata, pensijilan RSPO merupakan mekanisme untuk pengeluar yang bertanggungjawab menunjukkan komitmen mereka dalam mengeluarkan minyak sawit lestari selain sedia diaudit secara berterusan oleh pihak ketiga.



Beliau berkata, hanya tujuh peratus atau 3.2 juta daripada 45 juta tan pengeluaran tahunan global memperoleh sijil ketika ini, dengan Malaysia menyumbang sebanyak 65 peratus, diikuti Indonesia dan Papua New Guinea. - BERNAMA


Offshore Works beli kenderaan pemetaan

Offshore Works Sdn. Bhd. (OWS) mengumumkan pembelian kenderaan pemetaan dasar laut dalam (AUV - Autonomous Underwater Vehicle) Hugin 1000.



OWS adalah syarikat Asia pertama yang memperolehi AUV dan pembelian itu dijangka meningkatkan kemampuan teknikal sedia ada bagi industri minyak dan gas bagi rantau Asia.



OWS dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini berkata, urusniaga AUV itu telah disempurnakan baru-baru ini dengan pengeluarnya, AUV Kongsberg Maritim yang berpusat di Norway.



"AUV adalah alat paling mutakhir bagi tinjauan laut dalam dengan kemampuan melakukan tinjauan keadaan fizikal perairan laut dalam hingga 3,000 meter.



"AUV ini mempunyai reputasi yang kukuh di seluruh dunia dan kita melihat potensi AUV yang besar di Asia. Itu sebabnya kami yakin pembelian AUV ini adalah tindakan tepat untuk memenuhi pertumbuhan dan permintaan bagi kapasiti tinjauan di rantau ini,'' kata Pengerusi Eksekutif OWS, Datuk Mohd. Sallehuddin Othman.



Mohd. Sallehuddin menambah, AUV 1000 adalah peralatan canggih yang menyediakan data berkualiti tinggi dan lebih cepat, serta memberi ketepatan lebih tinggi untuk kedudukan dalam tinjauan bawah laut.



Selain itu, katanya, AUV tidak memerlukan kapal penarik dan ini memberi kelebihan dari segi penjimatan besar berbanding kaedah konvensional yang mengunakan sensor yang ditarik kapal.



"Kami yakin industri minyak dan gas di rantau ini akan memberi maklum balas positif terhadap penggunaan AUV,'' ujarnya.



Menurut beliau, pelaburan AUV memberikan OWS kelebihan yang besar dengan kemampuan untuk memberi perkhidmatan huluan yang lengkap dan terkini bagi industri minyak dan gas.



AUV 1000 kini berpusat di Labuan dan dikendalikan oleh Offshore Geo-Survey Sdn. Bhd. (OGS), bahagian tinjauan Geophysical & Geotechnical bagi OWS.



Isnin, 15 November 2010

Bursa dijangka turun lagi minggu ini

Harga saham di Bursa Malaysia mungkin menyaksikan lebih banyak penyusutan minggu ini berikutan kelemahan berterusan pasaran serantau ekoran kebimbangan tentang kenaikan kadar faedah dan krisis zon euro.



"Pasaran mungkin menyaksikan lebih banyak penyusutan minggu ini kerana China nampaknya sedang dalam perang mata wang dengan Amerika Syarikat (AS) dan mengenakan langkah-langkah bagi mengetatkan dasar monetari," kata Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan.



Meskipun bagi pasaran tempatan ini tidak membimbangkan, namun pasaran perlu memerhati prestasi indeks penanda aras 30 saham India, BSE Sensex, katanya.



"Pasaran saham India dianggap lebih kukuh daripada China. Jadi kita perlu perhatikan sama ada ia turun selanjutnya dan membuat penilaian dari situ seterusnya," katanya.



BSE Sensex mengakhiri dagangan minggu lalu 432.2 mata atau 2.3 peratus lebih rendah pada 20,156.89 apabila kebimbangan tentang hutang Ireland mencetuskan jualan habis-habisan aset yang berisiko.



Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, Donald Tsang dipetik sebagai berkata, pelabur-pelabur harus bersedia menghadapi keadaan turun naik secara besar-besaran dalam pasaran berikutan tanda-tanda yang semakin jelas menunjukkan ekonomi dunia masih menghadapi pelbagai risiko.



"Kita mungkin sudah keluar daripada keadaan yang teruk, tetapi kita pastinya masih dalam keadaan yang berbahaya," demikian beliau dilaporkan berkata pada forum Kerjasama Ekonimi Asia Pasifik (APEC).



Sementara itu, Ketua Penyelidikan OSK Research, Chris Eng berkata, pengambilan untung dalam bursa tempatan sememangnya dijangkakan selepas kenaikan baru-baru ini.



Rabu lepas, Rizab Persekutuan AS mengumumkan ia akan menyuntik sejumlah US$600 bilion (RM1.8 trilion) lagi dalam ekonomi negara itu.



"Kami juga percaya ada potensi bagi keputusan suku ketiga 2010 pada umumnya memperlihat prestasi yang lebih rendah daripada dijangkakan dan mencetuskan lebih banyak penurunan penarafan, kecuali sektor perbankan, pengguna dan penerbangan," katanya.



Dengan demikian, ia mencadangkan supaya pelabur-pelabur memberi perhatian kepada saham-saham pengguna yang bertahan dan tidak diberikan perhatian oleh pelabur-pelabur asing.



OSK Research juga mengekalkan sasaran akhir tahunnya bagi Indeks FBM KLCI pada 1,496, manakala sokongan kukuh semasa pada 1,479.



Sementara itu, Nazri berkata, Affin meramalkan sokongan kukuh pada 1,450 bagi FBM KLCI.



Pada minggu baru berakhir, indeks komposit bursa tempatan melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah pada 1,528.01 ekoran pengaliran masuk dana asing yang berterusan, terutamanya dari AS. Ia juga mencecah paras tertinggi dalam dagangan seharian pada 1,531.99.



Bagaimanapun, FBM KLCI mengakhiri dagangan minggu lalu 11.93 mata lebih rendah pada 1,499.81 berbanding 1,511.74 minggu sebelumnya.



Indeks Kewangan menokok 56.23 mata kepada 13,816.61 berbanding minggu sebelumnya, manakala Indeks Perladangan melonjak 55.43 mata kepada 7,771.76 tetapi Indeks Perusahaan turun 45.3 mata kepada 2,859.58.



Indeks FMB Emas susut 53.52 mata kepada 10,177.84, Indeks FBM Top100 jatuh 66.18 mata kepada 9,918.9 tetapi Indeks FBM Ace naik 210.81 mata kepada 4,654.9.



Jumlah dagangan minggu lalu bertambah kepada 8.204 bilion saham bernilai RM11.334 bilion daripada 5.075 bilion saham bernilai RM6.168 bilion minggu sebelumnya.



Pasaran Utama menyaksikan peningkatan jumlah dagangan kepada 7.067 bilion unit bernilai RM11.048 bilion daripada 4.428 bilion unit bernilai RM4.610 bilion sebelumnya.



Pasaran ACE menyaksikan jumlah dagangannya meningkat kepada 566.774 juta saham bernilai RM150.52 juta daripada 302.470 juta saham bernilai RM93.093 juta.



Waran melonjak jumlahnya kepada 577.634 juta unit bernilai RM117.75 juta daripada 208.815 juta unit bernilai RM38.549 juta. - BERNAMA




Inflasi buatan Amerika Syarikat

Malaysia dijangka berhadapan kenaikan inflasi berikutan peningkatan kecairan yang tinggi selepas Amerika Syarikat (AS) menyuntik AS$600 bilion (RM1.8 trilion) bagi merangsang ekonomi negara itu.



Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Zakariah Abdul Rashid berkata, perkara itu berlaku kerana AS pasti mengintai peluang pelaburan di negara-negara yang mampu memberi pulangan tinggi melalui kadar faedah seperti di negara-negara baru muncul termasuk Malaysia.



Menurut beliau, sebenarnya Malaysia mulai merasai peningkatan kecairan dengan kenaikan pasaran tempatan dan dijangkan berlaku permintaan mendadak terhadap sektor hartanah tempatan.



''AS akan melimpahkan duitnya ke seluruh dunia kerana negara itu tidak boleh melabur dalam negaranya sendiri memandangkan kadar faedah negara itu hampir sifar peratus,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.



Tambah beliau, peningkatan kecairan akibat kemasukan dolar AS itu dijangka meningkatkan permintaan terhadap pembelian barangan dan keadaan itu dikhuatiri akan mengakibat peningkatan inflasi, ujar beliau.



Kadar inflasi negara setakat Ogos lalu adalah 2.1 peratus.



Bagaimanapun, MIER yakin Bank Negara Malaysia (BNM) memantau perkembangan itu secara dekat bagi membolehkan langkah-langkah awal dilaksanakan.



Baru-baru ini, bank pusat itu melaksanakan nisbah maksimum pinjaman berdasarkan nilai (LTV) dengan mengumumkan para pembeli yang mahu memiliki rumah ketiga dan seterusnya, hanya boleh mendapatkan pembiayaan sehingga 70 peratus daripada nilainya.



Peraturan yang berkuatkuasa serta merta itu, bagaimanapun tidak menjejaskan kemudahan pembelian rumah pertama dan kedua.



BNM menjelaskan, langkah baharu itu bertujuan menyokong pasaran hartanah supaya terus stabil dan mampan, selain memastikan orang ramai akan mampu membeli rumah.



Sementara itu, mengulas mengenai unjuran pertumbuhan ekonomi yang perlahan pada 2011 oleh Bank Dunia, Dr. Zakariah berkata, jangkaan tersebut adalah hampir selari dengan MIER dan kerajaan.



Bank Dunia menjangkakan Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.8 peratus, lebih rendah daripada unjuran kerajaan antara lima hingga enam peratus, manakala MIER pula 5.2 peratus.



Menurut beliau, kelembapan itu disebabkan oleh krisis kewangan yang berpanjangan di negara-negara kuasa besar.



Jelasnya, tanda-tanda kelembapan sebenarnya sudah pun dirasai pada suku ketiga dan keempat dengan kadar pertumbuhan eksport menyusut.



''Sebagai sebuah negara pengeksport, krisis ekonomi yang berpanjangan ini memang menjejaskan Malaysia.



''Barangan kita biasanya dibeli oleh Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat tetapi apabila ekonomi-ekonomi negara ini semakin lesu menyebabkan keupayaan mereka semakin terhad, sekali gus menjejaskan ekonomi kita.



''Situasi ini sebenarnya sudah berlaku pada suku ketiga apabila kadar pertumbuhan eksport menyusut. Ini bermakna pengimport kurang membeli barangan kita,'' ujarnya.



Bagaimanapun, Dr. Zakariah menjangkakan keadaan itu tidak begitu teruk berbanding semasa krisis subprima kerana ia telah mengakibatkan Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi sebaliknya ia hanya berbentuk 'down swing' sahaja.



Tambahnya, setakat ini kerajaan telah mengambil langkah dan pendekatan terbaik untuk menyerap permasalahan ekonomi di luar seperti mengukuhkan sistem kewangan dan institusi perbankan tempatan.



''Yang menjadi kebimbangan kita adalah faktor luaran kerana kita tidak dapat memastikan gelora yang berlaku dan sukar untuk membuat jangkaan secara tepat.



''Contohnya soal peperangan mata wang kerana apabila ia disebabkan ketidakseimbangan global, masalah ini tidak boleh kita selesai dan sebenarnya Malaysia tidak ada kuasa. Ini bergantung kepada pelakon-pelakon besar seperti AS, Eropah, China dan Jepun,'' tambah beliau.



Dr. Zakariah menambah, keutamaan Malaysia sekarang adalah menumpukan kepada Program Transformasi Ekonomi (ETP) kerana ia menentukan struktur dan hala tuju baru ekonomi negara dalam jangka panjang.



Jelasnya, ini kerana tumpuan kepada ekonomi bukan hanya untuk 2010 dan 2011, sebaliknya kelangsungan bagi tahun-tahun mendatang.



''Hebat atau tidak, kita yang menentukannya untuk menjadi negara maju pada tahun 2020, kita telah 'memulakan permainan itu dan kita perlu bekerja untuk memenanginya'.



''Untuk menjayakannya semua pihak perlu serius melaksanakannya memandangkan ia bukan mudah kerana di tengah-tengah proses itu, dunia mungkin sekali lagi berhadapan dengan krisis,'' katanya.



Sabtu, 13 November 2010

Sejarah Orang Yahudi Di Malaysia


Orang Yahudi Malaysia adalah sebuah istilah yang dirujukkan pada orang Yahudi yang tinggal di Malaysia, atau yang berasal dari negara itu. Mereka kebanyakannya tinggal di negeri Pulau Pinang, tetapi mereka dapat dijumpa di tempat-tempat lain di negara ini, khususnya di Kuala Lumpur dan Melaka. Orang Yahudi Malaysia kebanyakannya dari Yahudi Timur (kebanyakan mereka adalah Yahudi Baghdad), dengan yang lainnya Yahudi Eropah (Yahudi Ashkenazi) dan kemungkinan Yahudi Cina, yang melarikan diri dari Kaifeng, China, sewaktu pengambil alihan Komunis pada tanah besar China dari Chin Nasionalist pada 1949.



Perhubungan pertama antara masyarakat Yahudi dan masyarakat di Malaya (yang kemudiannya dikenali sebagai Malaysia) bermula di sekitar kurun ke 9 yang bermula di Lembah Bujang dan kemudiannya pada kurun ke 18 di Bazaar Kosmopolitan di Malaka. Kemunculan Yahudi Baghdad di Penang kemungkinan besar berlaku adalah disebabkan kemajuan perniagaan dan perdangangan yang diuruskan oleh British pada sekitar kurun ke 19. Keadaan ini telah mempengaruhi saudagar-saudagar Yahudi seperti Sassoons dan Meyers dari India. Ada juga yang mengatakan terdapat penghijrahan secara beramai-ramai pada skala yang besar Yahudi dari Empayar Uthmaniah dari Provinis Baghdad ketika pemerintahan Daud Pasha dari tahun 1817-1831.



Yahudi yang pertama telah tiba dan mendiami Malaya adalah Ezekiel Aaron Menasseh. Beliau telah berhijrah dari Baghdad dan tiba di Malaya pada tahun 1895. Menurut sumber, Manasseh mengamalkan kehidupan dan budaya Yahudi selama 30 tahun sehingga selepas Perang Dunia Yang Pertama. Ketika itu, bilangan populasi masyarakat Yahudi yang berhijrah dan mendiami Malaya semakin meningkat. Ketika Jepun menyerang Malaya, masyarakat Yahudi telah dipindahkan ke Singapura dan sebilangan telah dibunuh dan dikebumikan ketika pendudukan Jepun di Malaya dan Singapura. Selepas penjajahan Jepun, majoriti masyarakat Yahudi Malaya telah berhijrah ke Singapura, Australia, Israel dan Amerika Syarikat. Pada tahun 1963 hanya terdapat sekitar 20 keluarga yang tinggal di Malaysia.



Rumah ibadat Yahudi (Synagogue) di Penang terletak di Jalan Nagore telah ditutup pada tahun 1976. Penutupan ini adalah disebabkan masyarakat Yahudi yang pada ketika itu tidak dapat melakukan ibadat Minyan, di mana terdapat seramai 10 orang lelaki berkumpul untuk beribadat secara beramai-ramai. Kini, dianggarkan terdapat 100 orang Yahudi di Malaysia dan kebanyakkan mereka adalah pelarian dari Russia. Kebanyakkan dari mereka telah berhijrah ke negara lain disebabkan oleh semangat Anti-Semetik yang kuat dan polisi anti-israel yang diperkenalkan oleh Kerajaan Malaysia yang bermula sejak tahun 1970.



Jalan Yahudi (Jew Road) di Penang dimana terdapat majoriti masyarakat Yahudi yang mendiami kawasan tersebut telah ditukarkan nama kepada Jalan Zainal Abidin. Keadaan ini telah menyebabkan entiti Yahudi yang ada hilang. Kini legasi yang tinggal dari masyarkat Yahudi di Malaysia hanya Tanah Perkuburan Yahudi dan Rumah Ibadat Synagoggue yang tidak digunakan lagi.



Keturunan masyarakat Yahudi Malaysia yang tinggal kini menetap di Singapura, Australia, Kanada, New Zealand, United Kingdom dan Amerika Syarikat (terutamanya di New York) dan bilangan populasi mereka sehingga kini tidak diketahui. Majoriti masyarakat Yahudi Malaysia berkomunikasi di dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan juga ada juga yang boleh berkomunikasi di dalam bahasa Yiddish, Parsi, Hebrew dan juga Bahasa Arab.

Tanah Perkuburan Yahudi di Penang telah diwujudkan pada tahun 1805 dan adalah dipercayai merupakan tanah perkuburan Yahudi yang tertua di Malaysia. Ianya berukuran 38,087 kaki persegi dan terletak di Jalan Zainal Abidin (sebelum ini dikenali sebagai Jalan Yahudi). Jalan ini merupak jalan kecil yang terletak di antara Jalan Burmah dan Jalan Macalister di Geroge Town. Kubur tertua bertarikh 9 Julai 1805 yang juga dipercayai kubur tertua di Tanah Perkuburan Yahudi itu. Kubur yang dimiliki oleh Puan Shoshan Levi. Dianggarkan terdapat 106 buah kubur dan kubur yang paling baru dibina adalah pada tahun 1978. Boleh dikatakan, tanah perkuburan ini dibina khusus untuk maysarakat Yahudi di sini. Walllahu’ A lam.