Isnin, 3 Januari 2011

Model gantian Perdana guna platform Nissan Fuga


PROTON Holdings Bhd akan melancarkan model gantian Proton Perdana, sama ada pada Mac atau April ini yang akan menggunakan platform Nissan Fuga dengan kapasiti enjin 2.5 liter. Sumber industri berkata, bagaimanapun buat permulaan model yang akan diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun itu hanya dipasarkan khusus untuk kegunaan kereta rasmi pegawai tinggi kerajaan. “Sebagai permulaan, sebanyak 150 unit akan diimport dari Jepun dan ia dibawa masuk khusus untuk kereta rasmi pegawai tinggi kerajaan, tetapi jika mendapat maklum balas memberangsangkan daripada pasaran, PROTON akan menimbangkan untuk memasarkannya secara komersial,” katanya pada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.



Fuga adalah kereta mewah Nissan yang menggunakan platform Nissan FM. Ia mula diperkenalkan di Jepun pada Oktober 2004.



Nissan Skyline, kereta sport mewah Nissan yang menjadi ‘kegilaan’ generasi muda Jepun turut menggunakan platform Nissan FM.



Fuga bersaing dalam pasaran kereta mewah eksekutif seperti Toyota Crown, Honda Legend, Mercedes-Benz E-class, Audi A6, BMW 5 series dan Jaguar XF.

Ia adalah kereta pertama dunia yang memperkenalkan teknologi sistem kawalan pedal bijak yang membantu pemandunya mengawal jarak selamat dengan kenderaan lain ketika pemanduan sama ada di kawasan bandar serta di lebuh raya.



Sumber itu berkata, penggunaan enjin lebih berkuasa untuk model gantian Perdana itu bertujuan menaik taraf kereta versi eksekutif dan premium PROTON ke tahap baru dan berupaya bersaing dengan model seperti Toyota Camry, Honda Accord, Hyundai Sonata atau Kia Optima di pasaran tempatan.



Katanya, selain untuk bersaing dalam kelasnya, penggunaan enjin yang lebih berkuasa itu juga bertujuan membezakan penggunaan enjin Proton Perdana dengan Proton Inspira yang turut menggunakan enjin 2.0 liter.



Sumber itu berkata, penggunaan Nissan Fuga itu menandakan permulaan kerjasama antara PROTON dengan Nissan Motor Company Ltd, iaitu firma automotif yang berpangkalan di Nishi-ku, Yokohama, Jepun.



“Ia (kerjasama dengan Nissan) susulan pengambilalihan kepentingan dalam Renault F1 Team yang dibuat PROTON menerusi anak syarikatnya, Group Lotus plc daripada Nissan yang dimuktamadkan awal Disember lalu.



“Menerusi pengambilalihan itu, selain membuka laluan buat PROTON terbabit dalam perlumbaan Formula Satu, ia turut membantu mengetengahkan beberapa program kerjasama baru lain antara PROTON dan Nissan, dan model penggantian Perdana adalah permulaan kerjasama antara kedua-dua pengeluar kereta berkenaan,” katanya.



Katanya, permulaan itu juga dijangka menjurus kepada kerjasama lebih serius di mana Nissan akan menggunakan kemudahan pengeluaran Proton di Tanjong Malim untuk mengeluarkan beberapa versi model lain tidak lama lagi, sekali gus membantu Proton memaksimumkan kapasiti pengeluaran kilang berkenaan.

 
Sumber : BH

Keupayaan Jelas Ulung dipersoal

Jelas Ulung, yang baru mengemukakan tawaran RM5.20 sesaham untuk mengambilalih PLUS Expressways Bhd (PLUS) , mungkin terpaksa melanjutkan tempoh konsesi sehingga 20 tahun selepas 2038, tanpa sebarang kenaikan tol dan insentif cukai, jelas Nicole Goh, penganalisis di UBS Investment Research.



Nicole membuat unjuran tersebut berdasarkan andaian bahawa tiada modal teroka selepas tahun 2020 dan kos modal purata berwajaran (WACC) pada enam peratus yang juga merupakan kos hutang.



Berdasarkan tawaran Jelas Ulung, Nicole berkata, pelabur perlu melepaskan pegangan saham mereka pada harga RM4.60 seunit (tawaran UEM-KWSP adalah pada RM4.60 seunit), mengambilkira ketidaktentuan keputusan yang bakal dibuat kerajaan mengenai tawaran mereka.



Namun, kemampuan kewangan Jelas Ulung diragui jika tawarannya dinilai dari sudut pandang yang adil. Jelas Ulung bercadang menerbitkan bon bernilai RM22 bilion, tambahan kepada jumlah RM11 bilion yang perlu untuk membiaya transaksi berkenaan.



Dengan mengambil andaian kadar faedah sebanyak tujuh peratus setahun terhadap RM22 bilion tersebut, jumlah ini akan menyamai RM1.5 bilion setahun atau RM43.1 bilion hingga tahun 2038.



Jelas Ulung juga mencadangkan supaya kadar tol tidak dinaikkan. Untung bersih PLUS pada 2009 adalah sebanyak RM1.2 bilion. Tanpa sebarang kenaikan kadar tol, ia bermakna keuntungan bersih akan susut kepada RM1.1 bilion, jika kadar pertumbuhan keuntungan syarikat diunjurkan pada 4 peratus hingga 5 peratus setahun.



Walaupun Jelas Ulung mengunjurkan keuntungan bersih terkumpul menjelang 2038 pada RM66 bilion akan menyerap kos caj faedah sebanyak RM43.1 bilion tersebut, persoalan lain yang timbul pula adalah bagaimana ia akan menyelesaikan hutang RM33 bilion untuk mengambilalih PLUS?



Penganalisis itu menambah, dengan faedah sebanyak RM2.3 bilion setahun, perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) harus mencecah sekurang-kurangnya RM4.6 bilion untuk mengekalkan jumlah aliran tunai bagi memenuhi komitmen kewangan syarikat.



Seorang penganalisis yang maklum dengan tawaran tersebut berkata, Jelas Ulung dan Bank of China berdepan kos yang tinggi dalam menstruktur bon sedia-ada PLUS.



"Untuk membiaya semula bon (sukuk) tersebut, mereka perlu membayar pampasan kepada pemegang bon bagi mengelakkan kerugian," menurut sumber itu.



Beliau menambah pengambilan alih PLUS akan menjadi lebih mudah jika ia dibuat oleh agensi seperti KWSP yang berkemampuan untuk mengambilkira kepentingan jangka panjang PLUS. "Bank of China, dalam pada itu, mungkin tidak mampu untuk memperuntukkan dana tambahan untuk PLUS memandangkan PLUS hanya akan menyalurkan aliran tunai tetap (tanpa sebarang kenaikan tol),"



"Inilah yang menjadi tanda tanya mengapa Jelas Ulung bersungguh-sungguh menawarkan RM5.20 sesaham untuk mengambilalih aset PLUS pada harga RM26 bilion," katanya.



Kasturi teraju fabrikasi berat

Kasturi Marine Heavy Engineering Sdn. Bhd. bakal menjadi peneraju serantau dalam kerja-kerja fabrikasi berat memandangkan industri minyak dan gas yang semakin melambung sekarang.



Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, George Norman berkata, Kasturi ditubuhkan untuk melaksanakan pembangunan limbungan utama yang boleh menempatkan projek-projek besar dalam pembuatan modul dan pelantar luar pantai serta limbungan pembinaan kapal untuk mempermudah pelanggan-pelanggan sekitar rantau Asia dan Asia Pasifik.



"Limbungan fabrikasi itu akan dapat menghasilkan kapal pengeluaran terapung, kapal penyimpanan dan pemunggahan (FPSO), kapal pemunggahan simpanan terapung (FSO) dan kapal pengangkut gas asli cecair terapung (FLNG) serta unit-unit penggerudian, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FDPSO).



"Perbincangan telah dimulakan dengan beberapa syarikat gergasi minyak bagi tujuan ini," katanya kepada Bernama di sini.



Beliau berkata, limbungan yang dicadangkan itu boleh menampung kira-kira 30,000 hingga 40,000 tan metrik kerja-kerja fabrikasi keluli dan memiliki kEupayaan prasarana seperti kedalaman alir bebas lebih daripada 35 meter bagi kegiatan pemunggahan termasuk kegiatan berlabuh kering (dry docking).



Ia berbangga dengan keluasan terbina berjumlah 500 ekar menghadap ke laut dan boleh dilalui oleh kapal-kapal samudera, bot tunda dan baj pengangkutan.



Norman berkata, Kasturi telah mengenal pasti satu rakan kongsi asing yang sanggup melabur dalam projek itu dengan perbelanjaan modal AS$500 juta manakala kegiatan kejuruteraan dan pembinaan luar pantai akan diselaraskan oleh sebuah syarikat yang mempunyai kepakaran teknikal, serta berpengalaman dalam pembuatan modul dan pembinaan kapal.



"Beberapa syarikat gergasi minyak mahu bekerja dengan kami kerana limbungan mereka penuh dengan banyak projek. Jumlah ekuiti akan ditentukan melalui pengagihan kewangan syarikat-syarikat terpilih," katanya. - Bernama



Passat ganti Proton Perdana?


Mungkinkah model terbaharu kereta Passat keluaran Volkswagen AG (VW), syarikat gergasi Jerman, bakal menjadi kereta rasmi kerajaan Malaysia bagi menggantikan Proton Perdana V6 Eksekutif yang kini dimamah usia?



Menurut sumber, DRB-HICOM Bhd. (DRB-HICOM) dikatakan akan mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan tidak lama lagi.



Kereta Passat merupakan antara model kereta yang bakal dipasarkan oleh syarikat konglomerat tempatan selepas kejayaannya memeterai kerjasama strategik dengan VW baru-baru ini.



Sumber itu berkata, kereta Passat yang bakal ditawarkan untuk kegunaan kerajaan, adalah kereta berenjin 1.8 Turbo tetapi mempunyai kuasa menyamai 2.3cc atau 2.4cc. Ia dikatakan berharga sekitar lebih RM100,000 sebuah.



Difahamkan kereta Proton Perdana tersebut sebelum ini berharga RM130,000.



Sekiranya cadangan itu diterima, kereta buatan Jerman yang akan dipasang di Malaysia itu, akan menggantikan kereta buatan nasional berjumlah beberapa ribu buah di negara ini secara berperingkat-peringkat.



Passat dikatakan berjaya menarik minat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada segi rupa bentuk dan kemasannya ketika menyaksikannya pada majlis pemeteraian kerjasama antara DRB-HICOM dengan VW di Kuala Lumpur, baru-baru ini.



Para pegawai DRB-HICOM gagal dihubungi Utusan Malaysia untuk mendapatkan ulasan.



Cadangan DRB-Hicom dijangka memberikan saingan yang besar kepada Proton Holdings Bhd. (Proton) yang masih lagi mencari kerjasama untuk membangunkan model baharu menggantikan Proton Perdana sedia ada.



Proton sebelum ini turut dilaporkan bakal membangunkan kereta mewah teknologi hibrid Nissan iaitu Nissan Fuga Hibrid untuk menggantikan Proton Perdana.



Selasa, 28 Disember 2010

Ekonomi berkembang lebih rendah?

Ekonomi Malaysia secara keseluruhannya dijangka mengalami pertumbuhan pada kadar 5.5 peratus pada tahun depan berbanding jangkaan 7.3 peratus pada tahun ini.




OSK Research berkata, sektor pembuatan dan perkhidmatan diunjur berkembang, masing-masing kepada 6.0 peratus dan 6.8 peratus.



Menurutnya kerajaan akan terus memberi fokus dan sokongan kepada sektor swasta untuk memperkukuhkan perbelanjaan pengguna dan mencergaskan pelaburan swasta.



Menurut firma itu, langkah itu adalah konsisten dengan jangkaannya sumbangan bersih eksport menyusut tahun depan ekoran permintaan luar negara yang agak lembap.



''Dengan unjuran perbelanjaan kerajaan semakin mengetat, ekonomi negara akan bergantung kepada dua enjin pertumbuhan iaitu perbelanjaan domestik dan pelaburan tetap,'' kata firma itu nota penyelidikannya.



OSK Research berkata, langkah untuk meningkatkan peranan pelaburan swasta mengekalkan pertumbuhan memandangkan sumbangan daripada perbelanjaan pelanggan domestik mungkin memberi potensi pertumbuhan terhad.



Jelas firma penyelidikan itu, untuk mencapai pertumbuhan enam peratus seperti yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10, Malaysia memang perlu meningkatkan sumbangan perbelanjaan pelaburan kepada empat peratus mata bersamaan purata 17 hingga 18 peratus bagi pertumbuhan tahun ke tahun.



Bagaimanapun, firma itu tidak menolak kerajaan berhadapan dengan kesukaran untuk mengurangkan defisit bajet di bawah tiga peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar.



''Kesukaran ini disebabkan penangguhan pelaksanaan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST).



''Penangguhan ini bermakna tiada perluasan dalam cukai kerajaan pada masa depan,'' ujarnya.



Malah, Bajet 2011 turut tidak membincangkan mengenai sebarang perancangan untuk mengurangkan subsidi minyak.



OSK Research menjangkakan, purata kadar inflasi negara pada tahun depan berada pada 2.5 peratus.

Minyak wangi buat Jin Muntah


Info yang menarik....

Bau wangi merupakan santapan roh, ianya dapat menyegarkan jiwa, memberi kesegaran rohani dan dapat membangkitkan semangat dalaman seseorang. Bau wangi dikatakan dapat membersihkan otak dan jantung serta setiap organ dalaman tubuh manusia.

Bau-bau wangian mempunyai khasiat dan para malaikat amat menyukainya, manakala syaitan-syaitan amat membencinya, kerana diantara perkara yang disukai syaitan adalah bau yang busuk dan menjijikkan.

Sudah beberapa kali menyapukan minyak wangi dihidung pesakit yang kerasukan ketika rawatan, hasilnya 99% dari mereka akan termuntah, jin yang menganggu akan komplen minyak wangi itu terlalu busuk untuk mereka hidu.

Kerana itulah diantara tanda-tanda mereka yang mengalami masalah gangguan jin, adalah tidak suka pada bau-bau wangian.
Roh yang baik akan menyukai bau yang wangi manakala roh yang jahat akan menyukai bau yang busuk. Setiap roh akan cenderung pada bau yang sesuai dengannya.

Ada riwayat mengatakan Nabi Sulaiman a.s adalah orang yang mula-mula mengetahui sifat-sifat penyembuhan pada herba dan bunga-bungaan. Setiap bunga, pokok dan tumbuh-tumbuhan mempunyai bentuk zahir dan juga rohnya (fizikal dan spiritual). Disinilah timbulnya ilmu aromatherapy, iaitu cara merawat penyakit dengan menggunakan bau-bauan.

Haruman-haruman tersebut dapat dihasilkan dengan beberapa cara seperti menekan bunga sehingga minyak keluar dari kelopaknya atau dengan menyuling air melalui kelopak bunga dan berbagai-bagai cara lagi.

Minyak wangi yang mengandungi alkohol tidak sesuai untuk tujuan rawatan atau membuat ubat. Ini adalah kerana campuran alkohol pada zat bunga itu, akan "membunuh" zat bunga tersebut

Ianya juga boleh digunakan untuk tujuan pelaris dan pemanis. Cuma ianya memerlukan kaedah-kaedah yang khusus dan niat yang baik dari si pemakai. Ini adalah untuk mengelakkan kehadiran jin pendamping.

Sumber : rbf
.

Didalam alam kesufian, minyak wangi digunakan pada setiap peringkat perkembangan perasaan (tingkatan-tingkatan perasaan). Ianya bertujuan untuk mempengaruhi emosi dan pusat-pusat kerohanian. Contohnya seperti minyak cendana, disyorkan apabila hendak melakukan amalan kerohanian yang serius kerana ianya dapat mendiamkan egoisma badan terutamanya berkenaan dengan tenaga batin. Begitu juga dengan minyak bunga ros, ianya dapat membersih dan mempertingkatkan kekuatan fizikal, mental, emosional dan spiritual.

Untuk tujuan rawatan dan membenteng diri dari gangguan jin, minyak wangi boleh dibacakan dengan surah-surah seperti Al-Fatihah, Al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Nas serta ayatul Qursi, atau boleh dibacakan dengan apa juga ayat-ayat al-quran, selawat atau zikir-zikir tertentu.