Jumaat, 24 Disember 2010

Aktiviti pengambilan untung Bursa ditutup rendah

Harga saham di Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung apabila para pelabur enggan menyimpan pegangan besar menjelang cuti Hari Krismas, kata para peniaga.



Kenaikan dalam beberapa saham wajaran tinggi terpilih berjaya mengekalkan FTSE Bursa Malaysia KLCI di atas paras 1,500.



Pada 5 petang, KLCI turun 0.57 mata kepada 1,514.48.



Indeks petunjuk pasaran itu yang dibuka 3.64 mata lebih tinggi pada 1,518.69, bergerak antara 1,511.2 dan 1,518.8.



Indeks Kewangan berkurangan 34.38 mata kepada 13,840.01, Indeks Perladangan susut 1.65 mata kepada 7,920.47 manakala Indeks Perusahaan naik 5.72 mata kepada 2,816.03.



Indeks FBM Emas turun 7.04 mata kepada 10,348.41, Indeks FBM 70 susut 23.229 mata kepada 10,876.73 manakala Indeks FBM Ace berkurangan sebanyak 6.16 mata kepada 4,263.22.



Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 383 berbanding 356, manakala 305 kaunter tidak berubah, 348 tidak diniagakan dan 30 yang lain digantung.



Jumlah dagangan berkurangan kepada 1.251 bilion saham bernilai RM1.646 bilion daripada 1.253 bilion saham bernilai RM1.664 bilion semalam.



Di Pasaran Utama, jumlah dagangan turun kepada 825.26 juta unit bernilai RM1.559 bilion daripada 976.982 juta saham bernilai RM1.596 bilion.



Bagaimanapun, waran meningkat kepada 370.065 juta saham bernilai RM73.64 juta daripada 228.075 juta unit bernilai RM56.218 juta sebelumnya.



Jumlah dagangan di Pasaran ACE menokok kepada 53.415 juta unit bernilai RM11.435 juta daripada 43.5 juta saham bernilai RM8.267 juta semalam.



Di kalangan saham cergas, KNM-CE:CW naik tiga sen kepada 33 sen, Integrated Rubber Corporation meningkat 4.5 sen kepada 28.5 sen dan MAS-CA:Cw menambah 6.5 sen kepada 18 sen.



Di kalangan kaunter wajaran tinggi, CIMB turun enam sen kepada RM8.54, Maybank dan Petronas Chemicals kedua-dua tidak berubah masing-masing pada RM8.50 dan RM5.57 manakala Tenaga naik sembilan sen kepada RM8.39.



Barangan pengguna menyumbang 54.231 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan 226.414 juta, pembinaan 59.643 juta, perdagangan dan perkhidmatan 272.211 juta, teknologi 36.562 juta, prasarana 12.705 juta, kewangan 44.016 juta, hotel 2.52 juta, harta 88.698 juta, perladangan 22.396 juta, perlombongan 621,700, REITs 5.172 juta dan dana tertutup 69,800.



- Bernama



Bursa saham dunia melonjak ke paras tertinggi

Pasaran saham dan harga minyak dunia telah melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh dua tahun lalu.



Prestasi ini didorong oleh data mengenai unjuran pertumbuhan ekonomi positif tahun depan yang dikeluarkan Amerika Syarikat.



Semakan menaik data itu menunjukkan ekonomi Amerika Syarikat berkembang 2.6 peratus pada suku ketiga ditambah dengan angka jualan runcit yang membuktikan aktiviti ekonomi di negara itu bertambah kukuh.



Pengukuhan saham sektor perbankan membantu Index S&P 500 merekodkan pencapaian tertinggi selepas merudum akibat keruntuhan Lehman Brothers.



"Sektor korporat dilihat mempunyai masa depan cerah, dengan aliran peningkatan keuntungan dijangka berterusan di samping dasar-dasar kerajaan yang diramal kekal mesra pelabur," kata Ahli Strategi Barclays Wealth, Henk Potts.



Tambahnya, negara-negara lain juga diunjur berkembang.



Indeks ekuiti MSCI meningkat 0.1 peratus, telah mencatat paras tertinggi sejak September 2008 iaitu 328.89.



Indeks ini telah meningkat sebanyak 10 peratus tahun ini.



Manakala Indeks saham global Thomson Reuters juga naik 0.1 peratus.



Harga minyak mentah Amerika Syarikat dicatat pada harga AS$90.48 setong (RM 281.69) sekali gus merekod paras tertinggi sejak Oktober 2008.



Dalam pada itu, dolar Amerika jatuh 0.1 peratus berbanding mata wang utama lain, manakala Yen pula meningkat 0.7 peratus kepada 82.99 berbanding satu dolar Amerika di dalam satu dagangan kecairan kecil.



Data positif yang dikeluarkan Amerika dan kebimbangan terhadap krisis hutang Eropah meningkatkan ramalan bahawa dolar seharusnya didagangkan lebih kukuh tahun depan.



" Peningkatan dolar memang munasabah tahun depan terutama pada separuh pertama, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Amerika dan mampu mengejutkan pasaran kewangan, " kata Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ di dalam satu nota kepada pelanggannya. - Reuters



Pasaran saham cecah 1,650 mata

MIDF Amanah Investment Bank Bhd. (MIDF Investment) mengunjurkan pasaran saham tempatan bakal mencecah paras 1,650 mata pada tahun depan berikutan beberapa sentimen positif.



Naib Presiden Kanan dan Ketua Jabatan Penyelidikannya, Zulkifli Hamzah berkata, antara sentimen adalah lebih banyak tawaran awam permulaan (IPO) besar diketuai oleh Petronas Carigali Sdn. Bhd. (Petronas Carigali).



''Penyenaraian Petronas Carigali yang dijangka pada tahun depan akan meningkatkan minat pelabur asing untuk melibatkan diri dalam pasaran ekuiti tempatan.



''Minat pelabur asing terhadap Petronas Carigali adalah disebabkan oleh syarikat itu secara aktif melakukan aktiviti eksplorasi minyak. IPO tersebut dijangka menjadi IPO terbesar pada tahun hadapan,'' katanya.



Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas memberikan taklimat media mengenai unjuran ekonomi pada tahun hadapan di sini hari ini.



Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Megat Hisham Megat Mahmud dan Pakar Ekonomi MIDF Investment, Anthony Dass.



Tambah Zulkifli, sentimen lain turut membantu adalah lebih banyak aktiviti korporat seperti penggabungan dan pengambilan alih syarikat (M&A).



''Aktiviti M&A telah dimulakan pada tahun ini dengan beberapa syarikat hartanah besar telah mengambil langkah tersebut. Pada tahun hadapan sektor lain yang bakal mengalami M&A adalah sektor minyak dan gas.



''Faktor lain yang mendorong kepada pasaran ekuiti yang memberangsangkan adalah pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) iaitu pada paras melebihi lima peratus,'' jelasnya.



Selain itu, katanya pelaksanaan program transformasi ekonomi (ETP) dan Rancangan Malaysia ke sepuluh (RMK10) turut membantu merancakkan pasaran ekuiti tempatan.



''Ini kerana lebih banyak projek yang berintensif modal akan mula bergerak dalam pasaran.



''Manakala pertumbuhan pendapatan korporat juga bakal melonjak kepada paras 15.8 peratus berbanding 14 peratus pada tahun ini. Ia akan disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam sektor perbankan, perladangan dan pembinaan,'' tambahnya.



Sementara itu, ringgit akan terus mengukuh pada paras RM3.00 berbanding dolar AS dan pada suku pertama tahun depan Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas.



Zulkifli berkata, penambahan kadar OPR itu bergantung kepada keadaan inflasi semasa negara.



Rabu, 24 November 2010

Mahu perkenal indeks tarik pelabur SRI

Bursa Malaysia akan memperkenalkan Indeks Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Indeks ESG) menjelang 2012 bagi menarik lebih ramai pelabur dana Tanggungjawab Sosial Pelabur (SRI) ke pasaran tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Yusli Mohamed Yusoff berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi membangunkan indeks berkenaan.

Ia dikatakan hampir sama dengan indeks di luar negara seperti Dow Jones Sustainability Index dan FTSE4Good.

"Indeks ESG dijangka menarik lebih banyak dana berkualiti di seluruh dunia yang mana ada kebanyakan pelabur yang meletakkan isu tanggung jawab sosial sebagai asas untuk membuat keputusan, " katanya selepas pelancaran Program Kemampanan Perniagaan anjuran Bursa Malaysia di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Program Kemampanan Perniagaan ini merupakan program pertama seumpamanya di Malaysia sejajar dengan hasrat kerajaan yang mahukan elemen kemampanan disepadukan dengan strategi perniagaan terutama bagi syarikat senaraian awam.

Di bawah program berkenaan, Perdana Menteri telah melancarkan satu panduan bertajuk 'Memperkasakan Kemampanan Perniagaan-Panduan kepada Pengarah' yang bertujuan untuk membantu pengarah-pengarah syarikat memahami nilai terbaik di dalam amalan kemampanan.

Selain itu, beliau turut melancarkan Portal Pengetahuan Kemampanan yang boleh dilayari menerusi laman web Bursa Malaysia.

Menurut Yusli, walaupun memahami kepentingan amalan kemampanan bagi menarik lebih ramai pelabur, Bursa Malaysia tidak berhasrat untuk menjadikan ia sebagai satu syarat wajib penyenaraian.

Faktor luaran rangsang Bursa lemah

Harga-harga saham ditutup rendah di Bursa Malaysia Sekuriti dengan sentimen dirangsang oleh faktor luaran seperti masalah hutang Ireland serta konflik antara Korea Utara dan Selatan.



"Banyak pelabur berhati-hati terhadap pasaran, menunggu arah tuju pasti, selain hakikat bahawa angka keluaran dalam negara kasar suku ketiga yang tidak memihak kepada pasaran.



Pada penutup, Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia Kuala Lumpur susut 15.67 mata untuk ditutup pada 1,487.53, selepas dibuka 3.64 mata lebih tinggi pada 1,506.84.



Indeks Perladangan susut 108.19 mata kepada 7,630.68, Indeks Kewangan turun ketara sebanyak 156.53 mata kepada 13,622.97 dan Indeks Perusahaan susut 33 mata kepada 2,836.97.



Indeks FBM Emas susut 128.63 mata kepada 10,068.71, FBM70 turun 154.11 mata kepada 10,313.04 dan Indeks FBM Ace susut 176 mata kepada 4,302.4.



Jumlah dagangan meningkat kepada 1.175 bilion saham bernilai RM2.009 bilion berbanding 968.588 juta saham bernilai RM1.165 bilion yang direkodkan semalam.



Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 785 berbanding 96 manakala 195 kaunter tidak berubah, 338 kaunter tidak diniagakan dan 76 yang lain digantung.



Mengetuai senarai saham aktif ialah Karambunai yang susut satu sen kepada 19 sen, diikuti Axiata dan Jo tech yang masing-masing susut satu sen kepada RM4.48 dan 10.5 sen.



Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 996.689 juta saham bernilai RM1.96 bilion berbanding 858.210 juta saham bernilai RM1.130 bilion yang direkodkan semalam.



Perolehan dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 95.046 juta saham bernilai RM33.672 juta berbanding 61.155 juta saham bernilai RM25.816 juta pada Isnin.



Jumlah dagangan waran meningkat kepada 77.137 juta saham bernilai RM12.378 juta berbanding 42.124 juta unit bernilai RM7.817 juta transaksi semalam.



Barangan pengguna menyumbang sejumlah 58.233 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, barangan perusahaan 217.122 juta, pembinaan 25.938 juta, perdagangan dan perkhidmatan 324.870 juta, teknologi 21.422 juta, infrastruktur 14.77 juta, kewangan 86.200 juta, hotel 1.501 juta, hartanah 165.323 juta, perladangan 35.555 juta, perlombongan 2.511 juta, REIT 2.798 juta dan dana tertutup 23,400.



- Bernama



Bursa dikejutkan serangan Korea Utara

Bursa-bursa utama di Asia hari ini menyaksikan harga-harga sahamnya merosot selepas dikejutkan peristiwa Korea Utara dan Selatan bertukar-tukar serangan sehingga menyebabkan para pelabur menarik keluar pelaburan mereka.



Nilai dolar Amerika Syarikat (AS) juga melonjak akibat pelabur mengambil langkah untuk menyelamatkan diri dan melabur dalam mata wang asing itu.



Korea Utara telah menyerang Pulau Yeonpyeong, Korea Selatan yang terletak di Laut Kuning, manakala Korea Selatan telah membalas balik serangan itu dengan menghantar jet pejuang ke kawasan tersebut, kata pihak tentera.



''Apabila peperangan berlaku, ia tidak akan menjadi risiko positif,'' kata Pakar Strategi Mata Wang BNP Paribas, Rob Ryan.



Pasaran saham di rantau ini, berada dalam keadaan lemah sebelum serangan itu berikutan langkah China dan krisis hutang Eropah dan diburukkan lagi dengan berita serangan tersebut.



Indeks Komposit Kospi, Korea Selatan ditutup rendah sebanyak 0.7 peratus sebelum berita serangan tersebut.



''Pasaran saham (esok) akan dipengaruhi oleh berita serangan Korea Utara itu,'' kata Cho Yong-hyun, Pakar Strategi Pasaran di Hana Daewoo Securities.



''Pasaran hadapan Kospi 200 ditutup rendah, menggambarkan kebimbangan terhadap isu Korea Utara .... ia akan memberikan kesan negatif kepada pasaran,'' katanya.



Pasaran hadapan Kospi 200 jatuh 2.44 peratus untuk ditutup pada 248 mata.



Pasaran saham Australia jatuh 1.2 peratus, Indeks Hang Seng, Hong Kong merudum 2.4 peratus, China menyusut 1.9 peratus manakala Taiwan turun 0.6 peratus.



Pasaran saham Jepun ditutup kerana cuti umum.



Sementara itu, pasaran lain seperti New Zealand ditutup rendah 1.1 peratus, Singapura turun 1.6 peratus, Malaysia jatuh 0.8 peratus, Indonesia merudum sebanyak 2.1 peratus, Filipina jatuh 0.9 peratus, Thailand turut merudum sebanyak 1.8 peratus dan India jatuh 2.5 peratus.



Indeks Dow Jones juga mengalami kerugian ekoran perkembangan terkini di Korea apabila jatuh 74 mata.



- DowJones