Ahad, 31 Januari 2010

Waspada fahaman Islam liberal

KALANGAN Muslim yang prihatin begitu bimbang dengan ajaran sesat dan pertelagahan sesama sendiri soal furuk (cabang) dalam agama terutama pada perkara-perkara bidaah yang timbul selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.

Bagaimanapun, jarang yang sedar dan prihatin akan ancaman yang jauh lebih bahaya dalam memesongkan akidah serta tauhid Islami serta fitrah kemanusiaan itu sendiri dalam Islam liberal.

Sebabnya, ancaman ideologi yang jelas bercanggah dengan al-sunnah dan al-Quran melalui aliran pemikiran moden yang mengsinonimkan falsafah Islam berpaksikan akal dengan pemikiran barat yang memesongkan akidah itu sudah menjadi 'pakaian' dan 'sajian' harian hidup ummah kini.


Mengguna label Islam liberal dengan memperjuangkan hak kebebasan dan hak asasi manusia, umat Muslim sebenarnya sudah diresapi dengan 'akidah' liberalisme dan pluralisme yang menjadi agenda dalam doktrin Yahudi-Kristian dalam menghancurkan Islam melalui pemesongan akidah Muslim

Akidah menurut Profesor Dr. Hamka, terhimpun kepada tiga iaitu tauhid yang menjadi pokok kepercayaan tentang Keesaan Allah SWT, Al-Risalah iaitu manusia pilihan Allah yang di utus menyampaikan wahyu-Nya bagi membimbing manusia dalam kehidupan dan Al-Baats iaitu kepercayaan kepada hari berbangkit untuk kehidupan kedua yang berkekalan. (Tafsir Al-Azhar: mukadimah juzuk 17).

Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Maka hadapkanlah dirimu dengan lurus kepada agama Allah, (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah (agama) Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Fitrah Allah ialah ciptaan Allah iaitu manusia diciptakan Allah mempunyai naluri beragama iaitu agama Tauhid. Kalau ada manusia tidak beragama Tauhid, maka hal itu tidaklah wajar. Mereka tidak beragama Tauhid adalah kerana pengaruh lingkungan kehidupan). (ar-Ruum: 30).

Namun, manusiawi dan sikap kebendaan sudah mengambil alih peranan dalam kebanyakan amalan dan budaya hidup ummah era kini berbanding al-Quran dan al-sunnah sebagai pegangan untuk kekal meng-Esakan Allah SWT.

Menurut Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zain al-Ghari, fahaman sesat ada pada setiap zaman tetapi ancaman pemikiran moden mengsinonimkan Islam dengan falsafah pemikiran barat melalui liberalisme dan pluralisme adalah ancaman dan fitnah zaman ini yang jauh lebih bahaya.

Katanya, agama dan semua kepercayaan selain Islam bukan agama, sebab semuanya bersifat kemanusiaan dan perkara rekaan.

"Semua agama rekaan manusia itu tidak mungkin boleh dianggap sebagai agama. Hanya Islam yang meng-Esakan Allah SWT agama dan kepercayaan yang mutlak," katanya.

Ini telah ditegaskan Allah SWT dalam al-Quran yang mafhum-Nya: Barang siapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi. (ali-'Imran: 85).

Oleh itu, kata Zamihan, hanya Islam satu-satunya agama kerana ia tidak ditokok tambah dan direkacipta oleh manusia untuk manusia.

Malah tegas beliau, Islam adalah agama yang paling cantik, komprehensif, natural, rasional dan mengikut fitrah makhluk lagi eksklusif yang tidak berubah sejak dulu, kini dan selamanya.

"Kerana kecantikan dan kesempurnaan Islamlah menyebabkan ia dicemburui oleh 'pereka' kepada pelbagai kepercayaan lain," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika membicarakan 'Ancaman liberalisme dan pluralisme' pada Seminar Isu-Isu Semasa Akidah untuk kakitangan kerajaan dan badan-badan berkanun pada 10 November lalu.

Seminar sehari anjuran Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan itu diadakan di dewan serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Ancaman Islam liberal kini kata Zamihan, amat serius kerana ia melibatkan secara menyeluruh di semua peringkat dari barisan kepimpinan dan pengurusan sama ada dalam politik, sosial, budaya, ekonomi dan agama itu sendiri hingga kepada individu.

"Ia berbahaya kerana mereka memperjuangkan prinsip kebebasan dan rasional akal tanpa batasan," katanya.

Menurut Zamihan, kebebasan bersandarkan logik atau rasional secara terbuka tanpa had bukan sahaja menyimpang daripada landasan Islam malah melampaui syariat dan prinsip dalam al-Quran dan al-Sunnah itu sendiri.

Kata beliau, Islam berasaskan al-Quran dan al-sunnah untuk menegakkan akhlak berbeza dengan langkah menjaga moral yang dilaungkan Islam liberal.

Melalui liberalisasi agama pula tambahnya, wujud sekularisme yang menyaksikan semua perkara berkaitan urusan dunia dipisahkan daripada syariat agama.

"Usaha pembaratan ini sudah bermula sejak Perang Salib lagi kerana musuh Islam sedar Muslim tidak dapat dikalahkan selagi kita berpegang teguh akidah al-Quran dan al-sunnah," tegasnya.

Maka itu katanya, wujud pemikiran nasionalisme, demokrasi, pluralisme politik, hak asasi manusia, feminisme, kebebasan, globalisasi dan Islam liberal memesongkan soal aqidah Muslim.

Pegawai Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Rashidy Jamil Muhammad Ar-Rashid pula memberitahu, usaha terbaru proaktif memesongkan akidah Muslim adalah mengedarkan buku-buku Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru kepercayaan Kristian berbahasa Melayu bertajuk Al-Kitab: Berita Baik secara percuma oleh kumpulan pendakyah Kristian.

Buku olahan baru dan semasa dari Kitab Bible dan Gospels Kristian itu juga turut dijual di kebanyakan kedai-kedai buku sebaris dengan kitab-kita Islam dengan meluas.

"Pengedaran tulisan khat arab yang dipetik dari buku-buku bible dan gospels pegangan Kristian yang menyerupai ayat-ayat al-Quran juga sedang bertebaran dan memenuhi ruang rumah, kedai, pejabat dan sesetengah tempat ibadah Muslim," jelasnya.

Sebab itu, tegas Rashidy, umat Islam yang dangkal agama dan bahasa Arab perlu lebih berhati-hati dan prihatin dalam memilih kitab dan tulisan khat serta kaligrafi Bahasa Arab.

"Bible telah diterjemah ke dalam lebih 2,000 bahasa, tetapi Buku Al-Kitab: Berita Baik edisi Bahasa Melayu bukanlah dari Taurat dan Holy Bible Kristian yang asli," jelasnya.

Sebaliknya kata beliau, ia mengandungi ayat-ayat untuk menyuntik idealisme Yahudi-Kristian ke pemikiran dan akidah Muslim Melayu yang membacanya.

Beliau yang banyak terlibat dalam dialog dan perdebatan mengenai Islam dan Kristian dengan paderi serta pendakyah agama seluruh dunia itu membuat pendedahan tersebut ketika membicarakan tajuk 'Ancaman Kristianisasi di Malaysia' pada seminar tersebut.

Menurut Rashidy, identiti Islam pada umatnya sekarang sudah hilang dan hampir seluruh kehidupan harian kebanyakan Muslim dikuasai budaya dan idealisme Kristian-Yahudi.

"Sebab itulah ramai Muslim yang terpesong akidahnya dan tidak kurang pula yang begitu mudah dimurtadkan," ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Hukum Hakam (Istinbat) Jabatan Mufti Selangor, Mat Jasi Kamos pula berkata, kejahilan Muslim mengenai Islam menjadi punca utama akidah mereka terpesong.

Kerana jahil katanya, ramai mengambil jalan pintas untuk 'mendapatkan syurga' dan mendekatkan diri dengan Allah, sehingga tidak dapat membezakan antara mukjizat, karamah (keramat) dan istidraj (luar biasa) yang dibawa oleh seseorang atau kumpulan atas nama agama.

"Akibatnya ramai yang bertuhankan kepada sesama manusia dan mereka juga taksub dengan kebendaan sehingga memesongkan akidah," katanya.

Begitupun kata Mat Jasi, setiap individu Muslim bertanggungjawab melaksanakan dakwah bagi mengembalikan akidah Islam kepada sesama manusia.

Oleh W. RAHIMAH DRAMAN

Pemuda Bani Tamim- Mengapa TIMUR Nusantara menjadi pilihan?

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan masa (kejayaan/kekuasaan dan kehancuran) itu Kami pergilirkan di antara manusia (sebagai iktibar/pengajaran)" (Ali Imran: 140)

Sabda Rasulullah SAW: "Akan terjadi di akhir zaman Islam muncul dari bumi sebelah Timur." (tersebut di dalam Kitab Sababul Inhithat Al Muslimin oleh Sayid Hasan Ali An Nadwi)

Berdasarkan ayat di atas, jelas bahawa Allah menggilirkan kejayaan dan kejatuhan suatu bangsa dari dulu hingga kini. As Syahid Hasan Al Banna pernah mengatakan; "Kepemimpinan dunia dipegang secara bergilir oleh orang dari Timur dan orang Barat."

Sejarah telah membuktikan, kejayaan sesuatu bangsa dipergilirkan antara Timur dan Barat, bermula dari bangsa Qibti (Timur), bangsa Yunani (Barat), bangsa Farsi (Timur), Bangsa Romawi (Barat), kemudian bangsa Arab (Timur), dan kini Amerika (Barat) yang sedang menurun pengaruh kekuasaannya hari demi hari. Jika diikuti susunan timur-barat ini, giliran bangsa yang bakal menguasai dunia kini adalah bangsa dari Timur.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Rom dikalahkan oleh Farsi di tanah jajahannya dan mereka (Rom) selepas itu akan mengalahkan Farsi di beberapa tahun kemudian. Sama ada sebelum atau selepas, semuanya dalam urusan (jadual ) ALLAH. Ketika (Rom mengalahkan Farsi) orang Mukmin bergembira dengan pertolongan ALLAH itu. (Ar Rum: 2-4)

Waktu wahyu ini turun, Rom dan Farsi adalah dua empayar yang menguasai dunia. Waktu itu masing-masing atas nama kristian dan majusi. Tetapi Allah SWT mengkhabarkan kepada orang mukmin tentang jadual di mana keduanya akan kalah-mengalahkan, yang akhirnya tinggal Rom berkuasa dengan pertolongan Allah SWT jua. Apabila peristiwa itu benar-benar berlaku orang Mukmin bergembira kerana tepat Jadual Allah SWT itu. Mereka yakin dengan pertolongan Allah itu juga kedua-dua empayar besar itu akan jatuh tersungkur kepada umat Islam. Demikianlah Allah SWT mempergilirkan kuasa mengendalikan dunia kepada bangsa-bangsa.

Di dunia ini secara umum orang mengenal ada dua Timur, iaitu Timur Tengah dan Timur jauh. Timur tengah sudah pernah mencapai kejayaannya yang dibawa oleh bangsa Arab dengan Islam. Sedangkan Timur jauh belum pernah sama sekali mendapat giliran memimpin dunia. Sehingga tidak keterlaluan jika saya meyakini bahawa Timur yang dimaksudkan oleh hadis tersebut adalah Timur jauh. Lebih tepatnya gugusan kepulauan Melayu (Nusantara) khususnya Malaysia.

Pada realitinya, pengamalan Islam yang paling menonjol dan meriah terdapat di Malaysia, diikuti di Indonesia. Oleh kerana Indonesia menerima serangan kristian yang dahsyat, kini Malaysia mendahului kebangkitan Islam tersebut. Lihatlah di negara-negara lain di sebelah Timur ini jika kedapatan Islam seumpama di Malaysia. Saya perkatakan perkara ini di sudut kesedaran dan pengamalan Islam di Malaysia, bukan di sudut pemerintahan yang sekuular. Kebangkitan Islam di Malaysia dipelopori oleh gerakan dakwah, bukan oleh parti-parti politik.

Kesedaran, kefahaman, penghayatan dan amalan Islam berlaku secara aman menembusi setiap lapisan masyarakat. Sistem-sistem hidup secara Islam yang telah dibina oleh badan-badan dakwah menjadi amalan masyarakat. Pengaruh inni berterusan sehingga mampu menukar Malaysia ke wajah Islam yang total. Parti politik Isla telah wujud lebih awal sedangkan badan-badan dakwah mula aktif dipenghujung 60'an. namun hasil perjuangan badan dakwah lebih menonjol berbanding parti politik.

Hatta beberapa "kemenangan" yang diperolehi oleh parti politik itu juga hasil kesedaran masyarakat kesedaran Islam yang digembur subur oleh gerakan dakwah. Tidak perlu disenaraipanjangkan apakah bentuk kesedaran dan pengamalan tersebut kerana ia sedang berlaku di hadapan mata kita.

Ya, memang kita lihat sekarang ini paling menonjol kebangkitan Islam itu ialah di Malaysia, negara kita yang tercinta ini. Kemudian diiringi kebangkitan itu oleh Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei. Orang Timur sedang sibuk mengamalkan syariat Islam di waktu bangsa-bangsa lain sekalipun orang Arab sedang lemah sekali.

Janganlah kita terkejut kalau saya katakan barangkali Pemuda Bani Tamim itu sudah lahir. Sebab kebangkitan yang begini menonjol tentunya ditangani oleh seorang yang bukan sebarang orang. Orang yang Allah dan Rasul sendiri menunjukinya. Tentu pula saudara-saudari tertanya-tanya apa logiknya Pemuda bangsa Arab itu ada di Timur?

Kaum keluarga Rasulullah SAW memang asalnya berada di Tanah Arab sana. Tegasnya, mereka ramai berada di Makkah. Tetapi bukankah lebih kurang 100 tahun yang lalu, Makkah telah diserang oleh puak wahabi dari kalangan puak badawi? Puak itu kerana mahu melenyapkan mazhab-mazhab dalam Islam telah membinasakan pengamal-pengamal mazhab yang menguasai Makkah waktu itu. Maka yang sempat lari, larilah orang-orang Arab ini terutama mereka dari keturunan Bani Hasyim ke merata-rata tempat khususnya di Timur terutamanya di Tanah Jawa, Indonesia. Dan mereka terpaksa menyembunyikan keturunan mereka, kerana takut diburu oleh puak-puak wahabi, musuh Islam yang merosakkan Islam atas nama Islam itu. (Inilah yang Rasulullah SAW maksudkan dalam Hadisnya, keluarganya ditimpa kebinasaan). Itupun jejak mereka masih diburu.

Apakah saudara-saudari tidak terfikir bahawa usaha-usaha untuk mengkristiankan dan mengwahabikan Indonesia secara serius itu adalah usaha yang halus tajaan Yahudi dan nasrani untuk membunuh kebangkitan Islam yang mungkin terjadi di sana? Malaysia seperti tidak dipedulikan sangat oleh puak wahabi dan kristian itu kerana bangsa Malaysia bukan bangsa pejuang. Lagipun negara Malaysia dilihat tidak begitu berpotensi untuk kebangkitan itu. Kerana negara ini adalah anak emas penjajah.

Maka dalam keadaan itulah putera-putera Arab dan Jawa itu berhijrah ke Tanah Melayu. Membawa bersamanya perjuangan Islam yang disembunyikan. Yang diperturunkan pula pada generasi anak cucunya. (Menurut seorang netters, Tanah Melayu bermaksud tanah orang pelarian dalam bahasa Jawa)

Maka Allah SWT telah mentaqdirkan Malaysia sebagai tapak kebangkitan Islam di Timur seperti yang disabdakan. Mana tahu kalau salah seorang dari Bani Tamim itu, pindah ke Malaysia, berkahwin campur dengan orang-orang tempatan, kemudian melahirkan anak lelaki yang masih berdarah Quraisy itu. Sekalipun rupa lahirnya tidak lagi Arab yang tulen. Ini sama sekali tidak mustahil. Yang penting ialah watak dan hasil perjuangannya.Maka toiffah yang dipimpin dan diperjuangkan itu hampir mencapai kesempurnaan (menerima kekuasaan di Timur) apabila telah mencukupi syarat-syaratnya. Bagi saya mereka sedang berada di fasa ke-3 perjuangan dan telah hampir ke fasa ke-4 iaitu mendapat kuasa pemerintahan.

Memang saya sedar dan ramai lagi umat Islam terutama ulama-ulama Arab mengira bahawa kebangkitan Islam di Khurasan itu dipelopori oleh bangsa Iran atau Iraq atau lain-lain bangsa Arab di negara Arab. Tetapi ternyata bahawa revolusi Islam Iran sudah tamat riwayatnya. Khomeini pergi sebelum Imam Mahdinya keluar dari persembunyiannya. Iran kembali menjadi negara yang tidak Islamik masyarakatnya. Iraq juga kelihatan tampil sekejap untuk memukau dunia. Tetapi cuma seketika, Iraq hancur lebur kemudiannya oleh bom-bom Amerika dan sekutu-sekutunya.

Mana ada lagi negara Arab yang nampak berpotensi waktu ini? Yang pasti Malaysia sedang mengepalai semua dalam usaha mengIslamkan masyarakatnya. Sebab itulah saya cukup yakin bahawa negara Timur yang dikatakan oleh baginda Rasul itu ialah Malaysia. Panji-Panji Hitam itu pun jangan-jangan dari Malaysia. Dan mana tahu Pemuda Bani Tamim itu juga orang Arab yang dilahirkan di Malaysia? Pun tidak mustahil bahawa pemimpin itu juga akan membawa panji-panjinya ke Khurasan. Dan moga-moga Negara Islam mirip salafussoleh yang akan mula-mula tampil di dunia di akhir zaman ini adalah Malaysia. Ya, dengan kuasa Allah yang terlalu Maha KuasaNya, moga-moga juga Malaysialah yang diserahkan kuasanya oleh Pemuda Bani Tamim kepada Imam Mahdi (seperti yang digambarkan di dalam Hadis).

Pada saya kepercayaan inilah yang menyebabkan pendakwah Kristian menyerang Indonesia secara habis-habisan. Pada sangkaan mereka kaum Bani Tamin akan muncul di Indonesia kerana pada zaman 50an dahulu Indonesia jauh lebih maju daripada Malaysia dari segala segi dan Islamnya nampak subur. Tapi berbeza sekarang, keadaan telah berubah, Malaysia sudah mengatasai Indonesia malah dunia Islam sendiri. Kini kristianisasi sudah semakin giat di Malaysia. Mereka melihat Malaysia akan menjadi ancaman kepada mereka. Mereka melakukan pelbagai tuntutan dan yang terbaru penggunaan perkataan Allah.

Marilah kita berdoa agar perkara ini benar-benar menjadi kenyataan. Allah SWT boleh berbuat apa saja- "Kun faya kun". Bukankah Allah sendiri yang telah melepaskan Uzbekistan dan lain-lain negara dari jajahan komunis tanpa campurtangan sesiapa? Sedangkan negara-negara itu sudah tujuh puluh empat tahun digenggam erat oleh komunis. Bukankah terjadinya krisis di dalam UMNO dan parti-parti politik yang sedang berlaku kini juga taqdir yang pasti berlaku? Sekalipun tiada siapa memintanya. Moga-moga dengan janji-janji itu pun, akan menjadi nyata di bumi yang bertuah ini!

Mungkin tidak mustahil juga Pemuda Bani Tamin itu juga akan muncul dari kalangan ahli UMNO. Semuanya tidak mustahil dengan kekuasaan Allah S.W.T, tiada siapa yang dapat menafikan dan menghalangnya. Kita munkin tidak dapat melihatnya, ia mungkin akan berlaku 100 tahun lagi...sama-samalah kita berdoa..

Pembetulan berterusan minggu ini

Saham-saham di Bursa Malaysia dijangka berterusan dalam mod pembetulan, dengan para pelabur memberi tumpuan kepada dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan kelemahan pasaran ekuiti di Eropah.
Seorang penganalisis berkata, pasaran telah tersasar dan dijangka trend semasa berterusan.

Untuk minggu baru berakhir, penanda aras FBM Indeks Komposit Kuala Lumpur (FBM KLSE) menyusut 41.29 mata kepada 1,259.16 daripada minggu lalu 1,300.45.

''Ia menunjukkan jalan selamat berikutan pasaran Eropah akan menjadi tidak menentu dan ia akan menjejaskan pasaran. Saya melihat dolar AS lebih mengukuh," kata penganalisis itu.

Penganalisis itu berkata, dengan 1,248 menjadi aras sokongan yang kukuh, pasaran telah 'hanyut' pada Jumaat untuk membentuk asasnya.


''Ia akan terus tersasar dalam beberapa minggu ini, tetapi harga-harganya tidak akan menjunam,'' katanya.

Beliau menyasarkan paras rintangan terendah pada 1,255.

Pada minggu ini, sejajar dengan bursa-bursa serantau, pasaran saham memperlihatkan trend menurun dengan ketara, terutamanya kaunter-kaunter perbankan.

Ia berikutan dasar monetari China yang diperketatkan selain cadangan pentadbiran Obama yang mengehadkan pengambilan risiko oleh bank di Amerika Syarikat.

Dalam pasaran tempatan, Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman kepada dua peratus tetapi membayangkan untuk menilai semula perkara itu bagi mengelakkan ketidakseimbangan kewangan yang telah menjejaskan saham perbankan dengan ketara.

Terdapat spekulasi bahawa kadar faedah akan ditingkatkan pada suku kedua yang mengakibatkan peningkatan kos dan menjejaskan pinjaman.

Minggu ini, Indeks kewangan menguncup 336.7 mata kepada 11,078.79 daripada 11,415.49, indeks perladangan jatuh 251.59 mata kepada 6,188.13 daripada 6,439.72 dan indeks perusahaan menyusut 114.86 mata kepada 2,586.04 daripada 2.700.9.

Indeks FBM Emas jatuh 266 mata kepada 8,484.0, Indeks FBM Top 100 mengurang 261.54 mata kepada 8,249.32 dan Indeks FBM ACE susut 113.38 mata kepada 4,381.83.

Jumlah urus niaga keseluruhan jatuh kepada 5.23 bilion saham bernilai RM7.66 bilion daripada 5.927 saham berjumlah RM7.437 bilion minggu sebelumnya.

Jumlah pasaran utama jatuh kepada 4.14 bilion unit bernilai RM7.5 bilion daripada minggu sebelumnya, iaitu sebanyak 4.838 unit bernilai RM7.188 bilion.

Waran panggilan turun kepada 193.12 juta unit bernilai RM 37.04 juta daripada 284.809 juta unit bernilai RM55.089 juta.

Jumlah pasaran ACE jatuh 558.8 juta unit bernilai RM93.18 juta daripada 748.839 juta unit bernilai RM165.66 juta.

Date : 1/2/2010
Sumber; Utusan Malaysia

Industri kereta beralih ke timur

Sunday, 31 January 2010 23:37

1) Apakah jenama kereta yang diketahui berasal dari negara A tetapi kini dikuasai negara B?

2) Negara apakah yang pernah dikenali sebagai satu daripada kuasa dunia automotif tetapi kini bukan lagi?

Berikut adalah senarai kasar: jenama Amerika Syarikat iaitu keluaran General Motors, Hummer yang dijual kepada Sichuan Tengzhong Heavy Industrial Machinery Company dari China. GM juga sedang dalam proses menjual Saab Automobiles. Jenama Saab yang berasal dari Sweden itu kini sedang dibina oleh entiti dari Belanda dan China.

General Motors (atau diberi jolokan Government Motors kerana menerima dana bail-out Presiden Barack Obama) menamatkan riwayat kereta Pontiac dan Saturn pada tahun lalu setelah tidak dapat menanggung kerugian besar.

Satu lagi syarikat yang pernah menjadi gergasi automotif Amerika, Ford Motors mengumumkan persetujuan untuk menjual jenama Volvo kepada kumpulan syarikat Geely Automotive dari China. Kedua-dua pihak berharap untuk memuktamadkan urus niaga menjelang akhir Mac ini.

Jelas di sini, syarikat automotif China telah menampakkan potensinya untuk muncul sebagai kuasa automotif dunia menerusi pengambilalihan jenama-jenama besar tersebut. Ia mula dikesan apabila Shanghai Automotive Industry Corporation (SAIC) mengambil alih jenama MG dari United Kingdom setelah ikon kereta sports itu jatuh muflis pada 2005.

SAIC juga kini pemegang saham terbesar iaitu 51 peratus dalam kereta SsangYong Motor Company yang cukup dikenali di Malaysia dengan model kenderaan utiliti sports, Rexton.

Namun, kemunculan China itu tidak bersifat eksklusif. Ini kerana satu lagi negara ekonomi yang pesat tumbuh ialah India. Dengan ketelitian dan ketekunan, Tata Motors Ltd. membeli satu persatu jenama Daimler, Jaguar dan Land Rover, kesemuanya berasal dari UK yang dikuasai oleh Ford Motors.

Trend dalam industri automotif global ini ketara menunjukkan jika sebelum ini, proses pengambil alihan sesuatu jenama berlangsung dari satu syarikat yang terpaksa menjual kepada syarikat sedia ada besar dan terkenal. Alasan yang diberikan ialah dengan menjual kepada entiti besar, maka warisan sejarah, kekuatan jenama dan keyakinan pelanggan akan kekal utuh.

Maka pada 1990-an hingga abad yang baru lalu, dunia menyaksikan penjualan jenama Seat (sebut Sey-yat) yang berasal dari Sepanyol kepada konglomerat automotif Jerman, Kumpulan Volkswagen pada 1990. Jenama MINI dan Rolls-Royce dari UK pula dijual kepada BMW. Daimler dan Chrysler pernah bercantum tetapi bercerai semula setelah jenama Jerman sukar meraih sinergi daripada penggabungan tersebut.

Konglomerat automotif Itali, Fiat memiliki 85 peratus kepentingan dalam Ferrari dan 20 peratus dalam Chrysler yang mungkin ditambah menjadi 35 peratus bergatung kepada rundingan masa depan. Fiat turut menguasai Alfa Romeo dan Maserati.

Ford Motor Company yang banyak menjual jenama kereta di bawah sayapnya, masih mengekalkan pegangan saham sebanyak 13.4 peratus dalam Mazda. Atas faktor ini bila dilihat pada trak pikap Ford dengan Mazda ia begitu mirip antara satu sama lain.

Kumpulan syarikat automotif Korea, Hyundai Kia Automotive menguasai 38.67 peratus ekuiti dalam Kia motors, menyusut dari 51 peratus yang dimilikinya pada 1998.

Porsche Automobil Holding SE pula memegang 50.74 peratus kepentingan dalam Kumpulan Volkswagen. Disebabkan kerumitan kecairan, Volkswagen kini dalam proses mengambil alih sepenuhnya Porsche yang dijangka disempurnakan pada 2011.

Renault-Nissan Motors merupakan dua syarikat global yang memiliki model perniagaan yang bukan sahaja unik tetapi terbukti berjaya. Renault mempunyai 44.3 peratus saham Nissan manakala Nissan ada 15 peratus dalam Renault.

Jenama kereta terlaris global pula, Toyota menguasai 51 peratus kepentingan dalam Daihatsu. Di Malaysia, ia ditukar label menjadi Perodua yang baru saja menyaksikan lantikan baru Pengarah Urusannya yang datang dari UMW Toyota Motors.

Dan ini fakta yang pasti merancakkan rangsangan minda anda hari ini: Malaysia turut tercatat dalam senarai kuasa automotif menerusi pemilikan jenama Lotus yang berasal dari UK. Syarikat kereta nasional, Proton mengambil alih Lotus pada 1994 berikutan pemilik asalnya Buggati jatuh bankrap. Kenapa kereta Lotus tidak dijual di Malaysia sebagai Proton? Mungkin tidak sesuai kerana Lotus secara khususnya adalah pengeluar kereta lumba dan sports premium.

Pada 2004, Proton mengumumkan perjanjian dengan Volkswagen AG untuk melaksanakan pakatan strategik. Tahun-tahun berikutnya menyaksikan industri automotif negara merasai gegak-gempita daripada kedua-

dua pihak. Nampaknya pakatan strategik yang diharapkan gagal dicapai dan diumumkan tamat rundingan pada 2007, terutama apabila membabitkan persoalan melupuskan jenama Proton yang merupakan titik tolak permulaan era perindustrian di Malaysia pada era Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, berdasarkan trend global sekarang seperti yang dibentangkan di atas, satu-satunya cara untuk kekal relevan dan untung ialah menjalin ikatan dengan entiti automotif global. Dalam dunia tanpa sempadan, persoalan asal-asul sesebuah jenama kereta akan hanya dicemuh sebagai agenda emosi semata-mata. Mujurlah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkongsi sentimen ini dan mahu Proton melakukan langkah yang sewajarnya demi memastikan kesinambungan hayat Proton.


Sumber: Utusan Malaysia & Internet




Khamis, 28 Januari 2010

Kenali Asas Pelaburan

KITA sering mendengar orang ramai bercakap atau berbincang mengenai pelaburan. Isu pelaburan kebelakangan ini begitu hangat diperkatakan dan sudah menjadi satu topik perbualan umum.


Justeru, tidak hairan jika ramai menganggap pelaburan dan spekulasi adalah satu perkara yang sama. Bagi mengelak dipengaruhi kegiatan spekulasi berkenaan, pelabur terutama pelabur baru perlu mengenali asas pelaburan.

Kebiasaannya, sebelum seseorang pelabur khususnya pelabur di pasaran saham memulakan pelaburan, dia mungkin tidak mempunyai pengetahuan mengenai selok-belok pelaburan.

Pelabur berkenaan mungkin bergantung sepenuhnya kepada remisier atau broker saham untuk memberitahunya mengenai prosedur urus niaga dan peraturan pasaran saham.

Selain itu, kebanyakan pelabur pula mungkin membuat keputusan untuk berurus niaga berdasarkan khabar angin dan spekulasi.

Walaupun, ada antara mereka yang berjaya memperoleh keuntungan segera, namun lama-kelamaan ia bertukar kepada kerugian kerana terus bergantung kepada khabar angin dan spekulasi berkenaan.

Ini disebabkan pelabur kecil terbabit biasanya mempunyai dana yang terhad dan tidak mampu bertahan lama di pasaran.

Secara umumnya, pelaburan boleh didefinisikan sebagai `satu pertukaran wang tunai atau pembelian aset dengan harapan bahawa aset itu akan membawa keuntungan pada masa depan dalam bentuk faedah, dividen, sewaan atau kenaikan harga'.

Perkataan `aset' bermaksud aset tetap dan aset kewangan. Aset tetap ialah aset nyata iaitu harta yang bersifat kebendaan dan mencerminkan nilai sebenar seperti tanah, rumah, kenderaan dan peralatan.

Aset kewangan pula ialah sesuatu harta yang bersifat tuntutan berdokumen terhadap pemilikannya dan agak sukar menentukan nilai sebenarnya seperti saham, simpanan tetap dan insurans.

Perlu ditekan di sini, perkataan `dengan harapan' bermakna ia membabitkan risiko iaitu kemungkinan mengakibatkan kerugian.

Setiap pelaburan pasti mempunyai risiko. Jika seseorang melabur di pasaran terbuka, risiko yang perlu ditanggungnya ialah perubahan harga sesuatu saham berkenaan.

Berdasarkan definisi itu, jelas bahawa ada pelbagai bentuk pelaburan. Menyimpan wang di dalam akaun simpanan, membeli hartanah dan membeli kenderaan adalah antara contoh pelaburan.

Malah, menyimpan wang dalam `tabung buluh' juga dianggap sebagai pelaburan iaitu memberi pulangan atau faedah ketika berlaku deflasi iaitu ketika harga barangan atau perkhidmatan turun.

Berikutan wujud pelbagai bentuk pelaburan, seseorang pelabur perlu bijak menentukan matlamat pelaburannya. Selain risiko, antara ciri lain yang harus dipertimbangkan ialah bentuk pulangan, kecairan dan ketidaktentuan pasaran saham.

Bentuk pulangan sesuatu pelaburan biasanya merangkumi pulangan tetap dan keuntungan modal. Sesetengah pelaburan hanya memberi pulangan dalam bentuk pulangan tetap seperti akaun simpanan, simpanan tetap, bil Perbendaharaan dan bon.

Pelaburan yang tidak menjanjikan pulangan secara tetap tetapi dalam bentuk keuntungan modal yang tinggi ialah seperti pelaburan emas dan berlian.

Pelaburan yang bergantung kepada keuntungan modal biasanya memberi pulangan yang tinggi berbanding pelaburan yang memberi pulangan tetap. Bagaimanapun, pelaburan yang memberi keuntungan modal sahaja adalah lebih berisiko berbanding pelaburan yang memberi pulangan tetap.

Dalam jangka panjang, pelaburan di pasaran saham terbuka memberi pulangan yang lebih tinggi berbanding kaedah pelaburan simpanan akaun tetap.

Sumber : Internet/Berita Main Saham

Aspek Kecairan Dalam Pelaburan

MINGGU ini kita membincangkan mengenai aspek kecairan (liquidity) dalam pelaburan. Istilah ini bermaksud kemudahan untuk menukar sesuatu bentuk pelaburan kepada tunai di dalam jangka masa singkat tanpa menanggung kos urus niaga yang tinggi.


Berdasarkan fakta, ramai bakal pelabur lebih suka memilih pelaburan yang mempunyai tahap kecairan yang tinggi. Menurut hukum ekonomi permintaan dan penawaran, lebih tinggi tahap kecairan sesuatu pelaburan, maka lebih rendah pulangannya.

Pelaburan yang mempunyai tahap kecairan yang tinggi seperti akaun simpanan, simpanan tetap dan bon, di mana pelabur boleh menunaikan atau menukar pelaburannya pada harga pokok kepada wang tunai dalam kadar segera tanpa membabitkan kos urus niaga yang tinggi.

Manakala pelaburan yang mempunyai tahap kecairan rendah seperti hartanah atau aset tetap akan mengambil masa yang lebih lama dan membabitkan kos urus niaga yang agak tinggi.

Seseorang mungkin terfikir pelaburan di pasaran saham terbuka boleh diklasifikasikan sebagai mempunyai tahap kecairan yang tinggi kerana saham biasanya boleh dijual atau ditukar kepada wang tunai dalam tempoh beberapa hari. Namun, realitinya, saham boleh menjadi satu pelaburan yang tidak mudah cair.

Antara sebab utama keadaan itu ialah kebanyakan pelabur mungkin dibelenggu oleh `perangkap psikologi'. Pelabur tidak mahu menjual pegangan mereka di bawah paras harga belian sesuatu saham ketika pasaran jatuh.

Mereka lebih rela menunggu dan berharap pasaran akan naik semula, tetapi jika diteliti, sesuatu kejatuhan pasaran (bear market) mungkin mengambil masa sehingga dua hingga tiga tahun.

Justeru, pelabur berkenaan terpaksa menunggu dalam jangka masa itu untuk melakukan urus niaga dan seterusnya mendapat keuntungan. Antara sebab lain ialah seseorang pelabur itu mungkin tidak boleh menjual pegangannya apabila tiba masa untuk menjual.

Ciri terakhir pula ialah ciri ketidaktentuan (uncertainty) yang mana lebih berkisar kepada faktor `harapan' dan `risiko'. Ini disebabkan sesetengah bentuk pelaburan sukar untuk menjangka pulangannya berbanding pelaburan lain.

Misalnya, simpanan tetap boleh dikategorikan sebagai satu pelaburan yang selamat di dalam keadaan biasa. Namun begitu, ramai juga pelabur yang terperangkap seperti apa yang berlaku di Indonesia di mana beberapa bank dan syarikat kewangan terpaksa ditutup atau diambil alih pengurusannya ekoran krisis kewangan pada 1997.

Pelaburan di pasaran saham terbuka juga mempunyai tahap ketidaktentuan pulangan yang sangat tinggi. Harga saham yang stabil pada hari ini mungkin akan jatuh menjunam pada masa depan, begitu juga sebaliknya.

Kebanyakan pelabur baru di pasaran saham terbuka tidak memahami konsep ini. Mereka secara melulu bergantung kepada remisier atau khabar angin dan seterusnya menjangka pelaburan mereka akan menepati jangkaan dan memberikan pulangan yang besar.

Seseorang tidak boleh mendapatkan sesuatu tanpa membabitkan kos. Pelaburan saham di pasaran bebas hanya memberi pulangan yang tinggi disebabkan ketidaktentuannya.

Jika anda tidak sanggup menanggung risiko ketidaktentuan ini, adalah lebih baik jika anda memilih pelaburan yang lebih selamat seperti simpanan tetap, amanah saham tertutup dan sebagainya
 
Sumber : Internet/Berita  Main Saham