Ahad, 31 Januari 2010

Pembetulan berterusan minggu ini

Saham-saham di Bursa Malaysia dijangka berterusan dalam mod pembetulan, dengan para pelabur memberi tumpuan kepada dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan kelemahan pasaran ekuiti di Eropah.
Seorang penganalisis berkata, pasaran telah tersasar dan dijangka trend semasa berterusan.

Untuk minggu baru berakhir, penanda aras FBM Indeks Komposit Kuala Lumpur (FBM KLSE) menyusut 41.29 mata kepada 1,259.16 daripada minggu lalu 1,300.45.

''Ia menunjukkan jalan selamat berikutan pasaran Eropah akan menjadi tidak menentu dan ia akan menjejaskan pasaran. Saya melihat dolar AS lebih mengukuh," kata penganalisis itu.

Penganalisis itu berkata, dengan 1,248 menjadi aras sokongan yang kukuh, pasaran telah 'hanyut' pada Jumaat untuk membentuk asasnya.


''Ia akan terus tersasar dalam beberapa minggu ini, tetapi harga-harganya tidak akan menjunam,'' katanya.

Beliau menyasarkan paras rintangan terendah pada 1,255.

Pada minggu ini, sejajar dengan bursa-bursa serantau, pasaran saham memperlihatkan trend menurun dengan ketara, terutamanya kaunter-kaunter perbankan.

Ia berikutan dasar monetari China yang diperketatkan selain cadangan pentadbiran Obama yang mengehadkan pengambilan risiko oleh bank di Amerika Syarikat.

Dalam pasaran tempatan, Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman kepada dua peratus tetapi membayangkan untuk menilai semula perkara itu bagi mengelakkan ketidakseimbangan kewangan yang telah menjejaskan saham perbankan dengan ketara.

Terdapat spekulasi bahawa kadar faedah akan ditingkatkan pada suku kedua yang mengakibatkan peningkatan kos dan menjejaskan pinjaman.

Minggu ini, Indeks kewangan menguncup 336.7 mata kepada 11,078.79 daripada 11,415.49, indeks perladangan jatuh 251.59 mata kepada 6,188.13 daripada 6,439.72 dan indeks perusahaan menyusut 114.86 mata kepada 2,586.04 daripada 2.700.9.

Indeks FBM Emas jatuh 266 mata kepada 8,484.0, Indeks FBM Top 100 mengurang 261.54 mata kepada 8,249.32 dan Indeks FBM ACE susut 113.38 mata kepada 4,381.83.

Jumlah urus niaga keseluruhan jatuh kepada 5.23 bilion saham bernilai RM7.66 bilion daripada 5.927 saham berjumlah RM7.437 bilion minggu sebelumnya.

Jumlah pasaran utama jatuh kepada 4.14 bilion unit bernilai RM7.5 bilion daripada minggu sebelumnya, iaitu sebanyak 4.838 unit bernilai RM7.188 bilion.

Waran panggilan turun kepada 193.12 juta unit bernilai RM 37.04 juta daripada 284.809 juta unit bernilai RM55.089 juta.

Jumlah pasaran ACE jatuh 558.8 juta unit bernilai RM93.18 juta daripada 748.839 juta unit bernilai RM165.66 juta.

Date : 1/2/2010
Sumber; Utusan Malaysia

Industri kereta beralih ke timur

Sunday, 31 January 2010 23:37

1) Apakah jenama kereta yang diketahui berasal dari negara A tetapi kini dikuasai negara B?

2) Negara apakah yang pernah dikenali sebagai satu daripada kuasa dunia automotif tetapi kini bukan lagi?

Berikut adalah senarai kasar: jenama Amerika Syarikat iaitu keluaran General Motors, Hummer yang dijual kepada Sichuan Tengzhong Heavy Industrial Machinery Company dari China. GM juga sedang dalam proses menjual Saab Automobiles. Jenama Saab yang berasal dari Sweden itu kini sedang dibina oleh entiti dari Belanda dan China.

General Motors (atau diberi jolokan Government Motors kerana menerima dana bail-out Presiden Barack Obama) menamatkan riwayat kereta Pontiac dan Saturn pada tahun lalu setelah tidak dapat menanggung kerugian besar.

Satu lagi syarikat yang pernah menjadi gergasi automotif Amerika, Ford Motors mengumumkan persetujuan untuk menjual jenama Volvo kepada kumpulan syarikat Geely Automotive dari China. Kedua-dua pihak berharap untuk memuktamadkan urus niaga menjelang akhir Mac ini.

Jelas di sini, syarikat automotif China telah menampakkan potensinya untuk muncul sebagai kuasa automotif dunia menerusi pengambilalihan jenama-jenama besar tersebut. Ia mula dikesan apabila Shanghai Automotive Industry Corporation (SAIC) mengambil alih jenama MG dari United Kingdom setelah ikon kereta sports itu jatuh muflis pada 2005.

SAIC juga kini pemegang saham terbesar iaitu 51 peratus dalam kereta SsangYong Motor Company yang cukup dikenali di Malaysia dengan model kenderaan utiliti sports, Rexton.

Namun, kemunculan China itu tidak bersifat eksklusif. Ini kerana satu lagi negara ekonomi yang pesat tumbuh ialah India. Dengan ketelitian dan ketekunan, Tata Motors Ltd. membeli satu persatu jenama Daimler, Jaguar dan Land Rover, kesemuanya berasal dari UK yang dikuasai oleh Ford Motors.

Trend dalam industri automotif global ini ketara menunjukkan jika sebelum ini, proses pengambil alihan sesuatu jenama berlangsung dari satu syarikat yang terpaksa menjual kepada syarikat sedia ada besar dan terkenal. Alasan yang diberikan ialah dengan menjual kepada entiti besar, maka warisan sejarah, kekuatan jenama dan keyakinan pelanggan akan kekal utuh.

Maka pada 1990-an hingga abad yang baru lalu, dunia menyaksikan penjualan jenama Seat (sebut Sey-yat) yang berasal dari Sepanyol kepada konglomerat automotif Jerman, Kumpulan Volkswagen pada 1990. Jenama MINI dan Rolls-Royce dari UK pula dijual kepada BMW. Daimler dan Chrysler pernah bercantum tetapi bercerai semula setelah jenama Jerman sukar meraih sinergi daripada penggabungan tersebut.

Konglomerat automotif Itali, Fiat memiliki 85 peratus kepentingan dalam Ferrari dan 20 peratus dalam Chrysler yang mungkin ditambah menjadi 35 peratus bergatung kepada rundingan masa depan. Fiat turut menguasai Alfa Romeo dan Maserati.

Ford Motor Company yang banyak menjual jenama kereta di bawah sayapnya, masih mengekalkan pegangan saham sebanyak 13.4 peratus dalam Mazda. Atas faktor ini bila dilihat pada trak pikap Ford dengan Mazda ia begitu mirip antara satu sama lain.

Kumpulan syarikat automotif Korea, Hyundai Kia Automotive menguasai 38.67 peratus ekuiti dalam Kia motors, menyusut dari 51 peratus yang dimilikinya pada 1998.

Porsche Automobil Holding SE pula memegang 50.74 peratus kepentingan dalam Kumpulan Volkswagen. Disebabkan kerumitan kecairan, Volkswagen kini dalam proses mengambil alih sepenuhnya Porsche yang dijangka disempurnakan pada 2011.

Renault-Nissan Motors merupakan dua syarikat global yang memiliki model perniagaan yang bukan sahaja unik tetapi terbukti berjaya. Renault mempunyai 44.3 peratus saham Nissan manakala Nissan ada 15 peratus dalam Renault.

Jenama kereta terlaris global pula, Toyota menguasai 51 peratus kepentingan dalam Daihatsu. Di Malaysia, ia ditukar label menjadi Perodua yang baru saja menyaksikan lantikan baru Pengarah Urusannya yang datang dari UMW Toyota Motors.

Dan ini fakta yang pasti merancakkan rangsangan minda anda hari ini: Malaysia turut tercatat dalam senarai kuasa automotif menerusi pemilikan jenama Lotus yang berasal dari UK. Syarikat kereta nasional, Proton mengambil alih Lotus pada 1994 berikutan pemilik asalnya Buggati jatuh bankrap. Kenapa kereta Lotus tidak dijual di Malaysia sebagai Proton? Mungkin tidak sesuai kerana Lotus secara khususnya adalah pengeluar kereta lumba dan sports premium.

Pada 2004, Proton mengumumkan perjanjian dengan Volkswagen AG untuk melaksanakan pakatan strategik. Tahun-tahun berikutnya menyaksikan industri automotif negara merasai gegak-gempita daripada kedua-

dua pihak. Nampaknya pakatan strategik yang diharapkan gagal dicapai dan diumumkan tamat rundingan pada 2007, terutama apabila membabitkan persoalan melupuskan jenama Proton yang merupakan titik tolak permulaan era perindustrian di Malaysia pada era Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, berdasarkan trend global sekarang seperti yang dibentangkan di atas, satu-satunya cara untuk kekal relevan dan untung ialah menjalin ikatan dengan entiti automotif global. Dalam dunia tanpa sempadan, persoalan asal-asul sesebuah jenama kereta akan hanya dicemuh sebagai agenda emosi semata-mata. Mujurlah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkongsi sentimen ini dan mahu Proton melakukan langkah yang sewajarnya demi memastikan kesinambungan hayat Proton.


Sumber: Utusan Malaysia & Internet




Khamis, 28 Januari 2010

Kenali Asas Pelaburan

KITA sering mendengar orang ramai bercakap atau berbincang mengenai pelaburan. Isu pelaburan kebelakangan ini begitu hangat diperkatakan dan sudah menjadi satu topik perbualan umum.


Justeru, tidak hairan jika ramai menganggap pelaburan dan spekulasi adalah satu perkara yang sama. Bagi mengelak dipengaruhi kegiatan spekulasi berkenaan, pelabur terutama pelabur baru perlu mengenali asas pelaburan.

Kebiasaannya, sebelum seseorang pelabur khususnya pelabur di pasaran saham memulakan pelaburan, dia mungkin tidak mempunyai pengetahuan mengenai selok-belok pelaburan.

Pelabur berkenaan mungkin bergantung sepenuhnya kepada remisier atau broker saham untuk memberitahunya mengenai prosedur urus niaga dan peraturan pasaran saham.

Selain itu, kebanyakan pelabur pula mungkin membuat keputusan untuk berurus niaga berdasarkan khabar angin dan spekulasi.

Walaupun, ada antara mereka yang berjaya memperoleh keuntungan segera, namun lama-kelamaan ia bertukar kepada kerugian kerana terus bergantung kepada khabar angin dan spekulasi berkenaan.

Ini disebabkan pelabur kecil terbabit biasanya mempunyai dana yang terhad dan tidak mampu bertahan lama di pasaran.

Secara umumnya, pelaburan boleh didefinisikan sebagai `satu pertukaran wang tunai atau pembelian aset dengan harapan bahawa aset itu akan membawa keuntungan pada masa depan dalam bentuk faedah, dividen, sewaan atau kenaikan harga'.

Perkataan `aset' bermaksud aset tetap dan aset kewangan. Aset tetap ialah aset nyata iaitu harta yang bersifat kebendaan dan mencerminkan nilai sebenar seperti tanah, rumah, kenderaan dan peralatan.

Aset kewangan pula ialah sesuatu harta yang bersifat tuntutan berdokumen terhadap pemilikannya dan agak sukar menentukan nilai sebenarnya seperti saham, simpanan tetap dan insurans.

Perlu ditekan di sini, perkataan `dengan harapan' bermakna ia membabitkan risiko iaitu kemungkinan mengakibatkan kerugian.

Setiap pelaburan pasti mempunyai risiko. Jika seseorang melabur di pasaran terbuka, risiko yang perlu ditanggungnya ialah perubahan harga sesuatu saham berkenaan.

Berdasarkan definisi itu, jelas bahawa ada pelbagai bentuk pelaburan. Menyimpan wang di dalam akaun simpanan, membeli hartanah dan membeli kenderaan adalah antara contoh pelaburan.

Malah, menyimpan wang dalam `tabung buluh' juga dianggap sebagai pelaburan iaitu memberi pulangan atau faedah ketika berlaku deflasi iaitu ketika harga barangan atau perkhidmatan turun.

Berikutan wujud pelbagai bentuk pelaburan, seseorang pelabur perlu bijak menentukan matlamat pelaburannya. Selain risiko, antara ciri lain yang harus dipertimbangkan ialah bentuk pulangan, kecairan dan ketidaktentuan pasaran saham.

Bentuk pulangan sesuatu pelaburan biasanya merangkumi pulangan tetap dan keuntungan modal. Sesetengah pelaburan hanya memberi pulangan dalam bentuk pulangan tetap seperti akaun simpanan, simpanan tetap, bil Perbendaharaan dan bon.

Pelaburan yang tidak menjanjikan pulangan secara tetap tetapi dalam bentuk keuntungan modal yang tinggi ialah seperti pelaburan emas dan berlian.

Pelaburan yang bergantung kepada keuntungan modal biasanya memberi pulangan yang tinggi berbanding pelaburan yang memberi pulangan tetap. Bagaimanapun, pelaburan yang memberi keuntungan modal sahaja adalah lebih berisiko berbanding pelaburan yang memberi pulangan tetap.

Dalam jangka panjang, pelaburan di pasaran saham terbuka memberi pulangan yang lebih tinggi berbanding kaedah pelaburan simpanan akaun tetap.

Sumber : Internet/Berita Main Saham

Aspek Kecairan Dalam Pelaburan

MINGGU ini kita membincangkan mengenai aspek kecairan (liquidity) dalam pelaburan. Istilah ini bermaksud kemudahan untuk menukar sesuatu bentuk pelaburan kepada tunai di dalam jangka masa singkat tanpa menanggung kos urus niaga yang tinggi.


Berdasarkan fakta, ramai bakal pelabur lebih suka memilih pelaburan yang mempunyai tahap kecairan yang tinggi. Menurut hukum ekonomi permintaan dan penawaran, lebih tinggi tahap kecairan sesuatu pelaburan, maka lebih rendah pulangannya.

Pelaburan yang mempunyai tahap kecairan yang tinggi seperti akaun simpanan, simpanan tetap dan bon, di mana pelabur boleh menunaikan atau menukar pelaburannya pada harga pokok kepada wang tunai dalam kadar segera tanpa membabitkan kos urus niaga yang tinggi.

Manakala pelaburan yang mempunyai tahap kecairan rendah seperti hartanah atau aset tetap akan mengambil masa yang lebih lama dan membabitkan kos urus niaga yang agak tinggi.

Seseorang mungkin terfikir pelaburan di pasaran saham terbuka boleh diklasifikasikan sebagai mempunyai tahap kecairan yang tinggi kerana saham biasanya boleh dijual atau ditukar kepada wang tunai dalam tempoh beberapa hari. Namun, realitinya, saham boleh menjadi satu pelaburan yang tidak mudah cair.

Antara sebab utama keadaan itu ialah kebanyakan pelabur mungkin dibelenggu oleh `perangkap psikologi'. Pelabur tidak mahu menjual pegangan mereka di bawah paras harga belian sesuatu saham ketika pasaran jatuh.

Mereka lebih rela menunggu dan berharap pasaran akan naik semula, tetapi jika diteliti, sesuatu kejatuhan pasaran (bear market) mungkin mengambil masa sehingga dua hingga tiga tahun.

Justeru, pelabur berkenaan terpaksa menunggu dalam jangka masa itu untuk melakukan urus niaga dan seterusnya mendapat keuntungan. Antara sebab lain ialah seseorang pelabur itu mungkin tidak boleh menjual pegangannya apabila tiba masa untuk menjual.

Ciri terakhir pula ialah ciri ketidaktentuan (uncertainty) yang mana lebih berkisar kepada faktor `harapan' dan `risiko'. Ini disebabkan sesetengah bentuk pelaburan sukar untuk menjangka pulangannya berbanding pelaburan lain.

Misalnya, simpanan tetap boleh dikategorikan sebagai satu pelaburan yang selamat di dalam keadaan biasa. Namun begitu, ramai juga pelabur yang terperangkap seperti apa yang berlaku di Indonesia di mana beberapa bank dan syarikat kewangan terpaksa ditutup atau diambil alih pengurusannya ekoran krisis kewangan pada 1997.

Pelaburan di pasaran saham terbuka juga mempunyai tahap ketidaktentuan pulangan yang sangat tinggi. Harga saham yang stabil pada hari ini mungkin akan jatuh menjunam pada masa depan, begitu juga sebaliknya.

Kebanyakan pelabur baru di pasaran saham terbuka tidak memahami konsep ini. Mereka secara melulu bergantung kepada remisier atau khabar angin dan seterusnya menjangka pelaburan mereka akan menepati jangkaan dan memberikan pulangan yang besar.

Seseorang tidak boleh mendapatkan sesuatu tanpa membabitkan kos. Pelaburan saham di pasaran bebas hanya memberi pulangan yang tinggi disebabkan ketidaktentuannya.

Jika anda tidak sanggup menanggung risiko ketidaktentuan ini, adalah lebih baik jika anda memilih pelaburan yang lebih selamat seperti simpanan tetap, amanah saham tertutup dan sebagainya
 
Sumber : Internet/Berita  Main Saham

Isnin, 25 Januari 2010

Kencing Manis: Apa yang sepatutnya dimakan?

Makanan yang tidak perlu dimakan:


• Gula – semua jenis

• semua jenis manisan dan coklat (kecuali coklat masakan yang mengandungi minima 70% coklat asli dalam kuantiti yang rendah)

• semua jenis makanan yang mengandungi gula derivatif yang mempunyai akhiran -ose seperti glucose, sucrose, lactose, maltose dan banyak lagi.

• Makanan berkanji seperti pulut, beras (terutama beras siam), gandum, jenis-jenis ubi seperti ubi kentang dan ubi kayu

• Susu rendah lemak atau susu skim, dan susu pekat manis (Susu cair atau susu segar penuh krim dibolehkan dalam kuantiti yang sedikit)

• Yoghurt rendah lemak dan yoghurt berperisa (termasuk susu berperisa)

• Sos cili, sos tomato dan kicap (kecuali kicap jenama Kikkoman kerana jenama ini tidak mengandungi gula)

• Semua jenis minuman dalam botol/tin, sirap dan skuasy

• Buahan dalam tin dan jus buah-buahan (buahan dalam bentuk jus mempunyai kandungan gula lebih tinggi dari buahan segar) kecuali jus yang dicairkan – satu bahagian dicampurkan 4 bahagian air.

Makanan yang sepatutnya dimakan:

• Semua jenis daging – kambing, lembu

• jenis burung – ayam, itik, turkey, puyuh, merpati dsbnya

• Hati, limpa, paru, buah pinggang (mengandungi khasiat vitamin dan mineral yang sesuai untuk tubuh)

• Sosej dan nuget (bagaimanapun awasi senarai bahan dalam produk di pasaran kerana kebanyakan terdapat bahan tambahan yang perlu dielakkan seperti gula dan bijirin)

• Semua jenis lemak binatang – tiada had seperti butter dan minyak sapi. Jangan buang lemak daging dalam masakan.

• Ikan dan makanan laut termasuk yang dikeringkan

• Telur – tiada had termasuk telur asin (kecuali telur “Omega-3″ kerana telur jenis ini telah dihasilkan dari makanan tiruan yang mengandungi hormon tambahan)

• Minyak kelapa, santan, kerisek, butter, minyak sapi, krim dan yoghurt penuh lemak

• Keju kecuali cottage cheese. Pastikan anda dapatkan keju yang vegetarian kerana keju yang tidak dilabel vegetarian adalah tidak halal.

• Herba dan rempah ratus

• Sayur-sayuran dan buah-buahan segar bergantung kandungan karbohidrat

• Tauhu, tempeh dan produk dari soya

Sayur-sayuran yang sesuai

• Lobak merah

• Lobak putih

• Leek

• Labu air

• Labu panjang

• Labu kuning

• Asparagus

• Taugeh (termasuk taugeh kacang hitam, taugeh kacang soya, taugeh kacang hijau)

• Kacang panjang

• Semua jenis Kobis

• Bunga kobis

• Broccoli

• kacang buncis

• Kacang tolo

• Tomato (segar atau dalam tin)

• semua jenis cili

• Lada benggala

• Bayam

• Kangkung

• Kailan

• Semua jenis Sawi

• Semua jenis cendawan

• Dedaun salad

• Dedaun hijau seperti pucuk ubi, pucuk ranti, pucuk labu, pucuk manis

• Semua jenis ulam herba

• Bebawang (seperti bawang besar, bawang putih, bawang merah, daun bawang)

• Kucai

• Petula

• Bendi

• Timun

• Terung

• Kelapa termasuk kelapa parut

• Bangkuang atau sengkuang

• water chestnut

• Celery

• Brussel sprout

Buah-buahan segar yang sesuai

• Epal

• Mangga (tidak lebih dari satu)

• Nanas

• Jambu batu

• Betik

• Peach

• Strawberry

• Blueberry

• limau bali

• limau nipis

• limau kasturi

• Tembikai dan jenis-jenis melon

• Belimbing

• Blackberry

• Raspberry

• Kiwi

• Oren

• Limau mandarin

• Pear dan buah lai

• Laichi

• Avocado

• Durian (tidak lebih dari 2 ulas)

• Rambutan (tidak lebih dari 2 biji)

Ahad, 24 Januari 2010

Syarikat Asing Boleh Mengeluarkan Kereta Mewah Di Dalam Negara, AP Dihapuskan Menjelang 2015

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Syarikat asing akan diberi lesen pengeluaran untuk memegang ekuiti 100 peratus di dalam syarikat yang mengeluarkan kenderaan mewah dengan kapasiti enjin lebih 1,800 cc dan berharga lebih RM150,000 manakala sistem Permit Kelulusan (AP) akan dihapuskan pada 2015 di bawah kajian semula Dasar Automotif Negara (NAP) yang diumumkan pada Rabu.

Kajian semula yang diumumkan oleh Menteri perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed itu menyatakan duti import kesemua kereta unit siap dipasang sepenuhnya (CBU) dan kereta terurai untuk dipasang (CKD) akan diteruskan.

Insentif dan pengecualian akan ditingkatkan untuk membangunkan alat ganti automotif tempatan supaya tiada lagi alat ganti yang diimport di dalam tempoh 18 bulan akan datang, satu langkah yang akan menghapuskan alat ganti yang diimport dan yang telah digunakan.

Kenderaan yang berusia 15 tahun dan ke atas pula perlu menjalani ujian mandatori bagi memastikan ia boleh digunakan di atas jalan raya tetapi peruntukan akan disediakan bagi kereta "vintage", katanya kepada pemberita bagi mengumumkan kajian semula NAP itu.

Katanya kajian semula itu dilakukan selepas melakukan perbincangan yang rapi dengan peserta industri, yang termasuk pengeluar, pembuat alat ganti, pertubuhan bukan kerajaan serta persatuan kereta.

Mustapa berkata terdapat 18 dasar dan langkah baharu yang meliputi pelesenan, duti, insentif, teknologi dan alam sekitar, keselamatan dan standard serta AP, yang diperkenalkan dalam kajian semula NAP itu.

Dasar dan langkah baharu itu berkuat kuasa 1 Jan, 2010.

Menerusi langkah baharu itu, usaha sama strategik antara Proton dan Pembuat Perkakasan Asal (OEM), akan diwujudkan.

Proton kini dalam perbincangan untuk mewujudkan usaha sama strategik itu dengan rakan antarabangsa.

"Sehingga ini, Proton belum menemui rakan usaha sama strategik," katanya.

Mengulas lanjut mengenai AP, beliau berkata sistem AP bagi import kenderaan CBU akan ditamatkan, manakala AP terbuka untuk kenderaan terpakai pula ditamatkan pada 31 Dis, 2015, yang bermakna import kenderaan terpakai tidak lagi dibenarkan selepas 2015.

"Tiada permohonan baharu untuk AP terpakai akan ditimbangkan, dan francais akan ditamatkan pada 31 Dis, 2020," katanya.

Mustapa berkata dalam usaha berterusan bagi membantu usahawan Bumiputera dalam industri automotif, Dana Pembangunan untuk Bumiputera juga akan diwujudkan.

Selain itu, beliau berkata bayaran RM10,000 bagi setiap AP terbuka akan diperkenalkan seperti yang diumumkan dalam Bajet 2010 minggu lepas berbanding status semasa dengan AP dikeluarkan secara percuma.

Satu dana akan diwujudkan bagi membantu syarikat-syarikat Bumiputera meneroka sektor automotof dan perniagaan lain yang berkaitan, katanya.

Beliau berkata kerajaan akan memperkenal satu mekanisme untuk menghalang import alat dan komponen terpakai berkuat kuasa pada Jun 2011.

Pada masa ini, import alat dan komponen baharu dan terpakai dibenarkan tanpa sekatan, yang mungkin dalam beberapa kes, menjejaskan keselamatan dan alam sekitar, katanya.

Satu langkah baharu dalam kajian semula NAP itu ialah penyediaan harga rizab kenderaan motor CBU import terpakai oleh Jabatan Kastam, satu usaha bagi menghentikan kereta terpakai import yang menyelahgunakan sistem AP dengan diisytiharkan di bawah harga sebenar.

Pada masa ini hanya kenderaan motor CBU import baharu sahaja yang dirizabkan untuk tujuan kompilasi duti, katanya.

Mustapa juga berkata kajian semula itu bagaimanapun mengekalkan pembekuan ke atas lesen-lesen pengilangan (ML) untuk aktiviti pemasangan semula.

"Pada masa ini, ML baharu untuk tujuan itu dibekukan," katanya.

Beliau berkata tiada syarat ekuiti dikenakan ke atas ML baharu dalam kajian semula NAP.

Bagaimanapun, kajian semula itu mengekalkan dasar semasa mengenai pemasangan kontrak untuk menggunakan kapasiti lebihan sedia ada.


Mustapa berkata pembekuan lesen ML baharu akan dibuka bagi segmen terpilih, termasuk kenderaan hibrid dan elektrik, trak pikap, kenderaan komersil dan motosikal dengan kapasiti enjin 200cc dan ke atas.

Mengenai kadar duti import dan eksais semasa yang dikekalkan, beliau berkata duti eksais bagi kenderaan CBU dan CKD berasaskan kapasiti enjin ialah antara 75 dan 105 peratus bagi kereta penumpang, 60-105 peratus bagi kenderaan dan van pelbagai guna, 65-105 peratus bagi kenderaan pacuan empat roda dan 20-30 peratus bagi motosikal.-- BERNAMA