Jumaat, 22 Januari 2010

Segerakan Transformasi Ekonomi Negara (TEN)

KEMUNCULAN tahun 2010 memberi sinar harapan baru pada kita. Pertumbuhan ekonomi dunia dijangka kembali pulih pada kadar 3.1 peratus dari kelembapan tahun 2009 iaitu -1.1 peratus, kadar terendah untuk tempoh pasca Perang Dunia Kedua.

Dalam jarak 10 tahun, selepas krisis ekonomi Asia Timur 1997/98, wawasan Malaysia untuk menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi dan maju pada tahun 2020 (Wawasan 2020) sekali lagi diuji. Kelembapan ekonomi global merencat eksport Malaysia dan kesan rantaian atas permintaan dan pelaburan domestik menggandakan lagi tempiasnya atas ekonomi negara. Dianggarkan ekonomi Malaysia menguncup sekitar 2.3 peratus untuk 2009. Tanda-tanda pemulihan semakin jelas, penguncupan ekonomi suku ke-III 2009 ialah -1.2 peratus berbanding -3.9 peratus di suku ke-II dan -6.2 peratus disuku pertama 2009. Pertumbuhan suku keempat kini dijangka kembali positif.

Tempoh pasca-krisis sangat kritikal

Benar, sinar harapan sudah kelihatan. Bank Dunia meramalkan ekonomi negara di jangka tumbuh pada kadar 4.1 peratus pada tahun 2010. Kerajaan berhasrat untuk mencapai lebih dari itu. Kita bersyukur dengan petanda ini tetapi kita jangan terleka dibuai dengan putik-putik awal pemulihan ekonomi global ini. Masih ada tugas besar yang belum diselesaikan.

Saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelang 2010 menepati lensa ekonomi. Perjalanan Malaysia masih jauh. Tempoh pasca krisis adalah sangat kritikal, umpama tempoh terapi selepas satu pembedahan besar. Pembedahan tidak berjaya tanpa disusuli oleh terapi yang bersungguh-sungguh. Kita tidak boleh berpaut kepada pemulihan ekonomi global dan kesan pakej rangsangan sahaja. Pertumbuhan sedemikian tidak bertahan lama. Struktur dan persekitaran ekonomi negara perlu berubah bagi memastikan kemajuan yang hakiki dan mampan.

Rekod negara melaksanakan terapi ekonomi pasca-krisis 1997/98 tidak begitu memberangsangkan. Pertumbuhan ekonomi 10 tahun pasca-krisis (1999-2008) adalah 5.5 peratus berbanding 9.1 peratus untuk tempoh 1988-1997. Pemulihan ‘V-shape’ tidak memadai. Kita mesti memastikan prestasi jangka panjang ekonomi negara tidak terjejas seperti yang dialami selepas krisis 1997/98. Sinar yang mula menyuluh perlu kita pastikan semakin terang dan menjadi pencetus kepada pertumbuhan yang berpanjangan.

Wawasan 2020 tercabar- Malaysia perlu lonjakan keluar

Wawasan 2020 kini tercabar. Kita sudah melepasi 20 tahun pertama atau 2/3 hayat wawasan berusia 30 tahun ini. Era pasca krisis 1997/98 menyaksikan jurang pencapaian ekonomi melebar, semakin jauh tersasar dari landasan Wawasan 2020. Menjelang 2010 saiz Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dianggarkan 26 peratus kurang dari sasaran. Tahap pendapatan perkapita semasa adalah 52 peratus lebih rendah dari sasaran Wawasan 2020. Kita perlu pastikan tempoh pasca-krisis ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan menjadi loncatan penting untuk kembali ke landasan 2020 atau terus menyaksikan jurang pencapaian ini semakin melebar.

Mesej Perdana Menteri jelas dan konsisten. Status Malaysia adalah kritikal. Malaysia mesti berubah atau terperangkap dalam pendapatan kelas menengah-atas (upper-middle income trap). Terlalu lama kita berlegar di takuk ini, sudah 15 tahun. Semakin lama, semakin tinggi risiko Malaysia akan terperangkap. Kita perlu lonjakkan keluar. Dalam tempoh 10 tahun yang akan datang pendapatan perkapita (2009: AS$6,970) perlu ditingkatkan sekurang-kurangnya dua kali ganda bagi mencecah tahap minima kelas pendapatan tinggi pada tahun 2020 .

Hakikatnya cabaran sebenar Wawasan 2020 adalah lebih mencabar. Pada kadar purata 7 peratus setahun, sejak Wawasan 2020 diumumkan 20 tahun yang lalu, pendapatan perkapita negara seharusnya mencecah AS$21,834 pada tahun 2020. Jika ini kekal sebagai sasaran, pendapatan per kapita perlu meningkat tiga kali ganda dan ekonomi perlu tumbuh secara purata 10.3 peratus bagi 10 tahun yang akan datang.


Struktur persaingan ekonomi dunia berubah-apa strategi Malaysia?

Struktur persaingan ekonomi dunia telah berubah, semakin sengit. Kemunculan kuasa ekonomi besar baru BRIC (Brazil, Rusia, India dan China) merubah pola pemusatan ekonomi global. Saiz ekonomi China kini berada di tangga ketiga di dunia dan berpotensi menjadi ekonomi terbesar dunia mengatasi Amerika Syarikat dalam beberapa dekad yang akan datang. Adakah kita sudah bersedia dengan struktur baru ekonomi global ini? Apakah tawaran Malaysia kepada kuasa-kuasa ekonomi BRIC ini?

Malaysia kini dikelilingi oleh negara-negara industri baru (Newly Industrialized Economies-NIEs)- Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan Singapura. Persaingan menarik sumber (pelaburan dan modal insan) menjadi lebih sengit. Pada awal 80-an, kita standing dengan negara-negara ini. Nisbah pendapatan perkapita Korea Selatan-Malaysia tahun 1980 adalah 1.1. Kini nisbah ini dua kali ganda lebih besar iaitu 2.1, jauh meninggalkan kita.

Pada awal 80-an Vietnam bukan saingan Malaysia. Terlalu jauh di belakang. Dalam tahun 1980, dari AS$2.6 bilion pelaburan asing yang masuk ke Asia Tenggara, Malaysia menerima 35.4 peratus (AS$934 juta) sementara tidak sampai 1 peratus (hanya AS$2 juta) berlabuh di Vietnam. Setelah 30 tahun berlalu, Vietnam mengejar dengan pantas. Dalam tahun 2008, dari jumlah AS$59.9 bilion pelaburan asing ke Asia Tenggara, Malaysia dan Vietnam masing-masing menerima 13.4 peratus dengan jumlah pelaburan yang hampir sama iaitu AS$8 billion (Malaysia: AS$8,053 dan Vietnam: AS$8,050). Malaysia hilang momentum tidak lagi sehebat dulu. Apakah mungkin satu hari nanti, sejarah Korea Selatan meninggalkan kita akan diulangi semula oleh Vietnam? Jangan kita berlengah.

Kedudukan negara dalam indeks daya saing juga tidak menunjukkan perubahan yang signifikan dan konsisten. Secara umumnya kita masih berlegar dalam tahap yang sama. Berdasarkan Indeks Ease of Doing Business 2010, Malaysia berada di kedudukan 20 dari 183 buah Negara. Namun demikian, Malaysia masih mempunyai masalah yang kritikal dalam 8 dari 10 sub-kategori yang diukur. Umpamanya, kedudukan Malaysia dalam kategori ‘Dealing with Construction Permits’ dan ‘Starting a Business’ dalam 109 dan 88. Kita perlu kemajuan yang menyeluruh, signifikan dan konsisten. Keupayaan negara untuk bersaing menarik pelabur dan merancakkan pelaburan swasta perlu ditingkatkan.

Pengetahuan, inovasi dan modal insan kunci kejayaan

Modal insan yang berpengetahuan dan memiliki daya inovasi yang tinggi adalah faktor utama yang menentukan kejayaan. Ia tidak pernah lekang dari ucapan Perdana Menteri. Bajet 2010 telah menggariskan keperluan mempertingkatkan daya inovasi negara sebagai teras utama mempercepatkan peralihan ke ekonomi-K. Sekali lagi diulangi dalam ucapan menjelang 2010.

Dalam tahun 2002 kita telah menyediakan Pelan Induk K-Ekonomi yang menyusun strategi perlaihan ke K-ekonomi. Dimanakah kita hari ini? Berdasarkan Indeks K-Ekonomi Bank Dunia, Malaysia masih di takok asal tidak berubah. Untuk tahun 2009, Malaysia mencatat mata indeks 6.07 berbanding 6.12 di tahun 1995. Purata untuk lima negara teratas ialah 9.41. Pengetahuan dan inovasi adalah kunci utama kemajuan di alaf baru. Tanpa jemu Perdana Menteri mengingatkan kita. Kunci ini mesti kita miliki.

Inovasi didorong oleh persekitaran dan keperluan . Agen utama inovasi adalah modal insan yang berpengetahuan dan berbakat. Kedudukan semasa yang menyaksikan limpahan jutaan pekerja asing tanpa kemahiran ke Malaysia dan penghijrahan ribuan pekerja mahir keluar negara perlu ditangani segera. Mobiliti songsang ini adalah pentanda besar bahawa hari ini Malaysia bukan ‘gula’ yang menarik minat pekerja-K yang berkemahiran tinggi. Sebaliknya kita adalah ‘gula’ pada tenaga buruh tanpa kemahiran. Bagaimana ekonomi akan beralih sekiranya buruh luar tanpa kemahiran ini adalah 30 peratus dari jumlah tenaga kerja?

Berdasarkan Human Development Report 2009 UNDP, hanya 8 peratus (Korea Selatan: 23.4 peratus) dari penduduk berusia 25 tahun keatas memiliki pendidikan tertiari sementara 61.3 peratus (Korea Selatan: 36.2 peratus) memiliki pendidikan kurang dari menengah atas. Dengan mobiliti songsang tenaga kerja, kualiti stok modal insan yang sedemikian perlu ditangani segera bagi merealisasikan ekonomi berpaksikan inovasi.

Malaysia perlu ‘cemas’

Prestasi petunjuk pembangunan yang merunsingkan seperti yang diatas bukan sesuatu yang aneh lagi. Puluhan kajian, laporan, forum perbincangan dan seminar telah diadakan dan hampir kesemuanya menjurus pada persoalan yang sama. Mungkin sudah ‘basi’ didengar bagi sesetengah pihak. Seharusnya kita terasa ‘terancam’ dan bingkas bangun menyegerakan inisiatif yang berkesan. Kita seolah-olah sudah kebas. Tidak terangsang. Tiada sikap ‘cemas’ yang menghantui kita seperti yang dialami oleh negara-negara yang diistilahkan oleh Bank Dunia sebagai ‘negara pulau’ atas sifatnya yang sentiasa berwaspada dan mudah terasa terancam. Sedikit kejutan sudah cukup menggerakkan negara-negara ini untuk bingkas bangun bertindak.

Kita tidak kurang idea, istilah ekonomi pembangunan telah habis dipakai dalam pelbagai pelan induk dan dokumen strategik negara. Kita sudah terlalu lama berada dalam ‘fasa mengenalpasti’, kita mesti dengan segera dan bersungguh-sungguh beralih dan menumpu pada ‘fasa perlaksanaan’ yang berkesan. Seperti yang dinyatakan Perdana Menteri baru-baru ini, tahun 2010 adalah tahun melaksana. Kelewatan kita beralih fasa mengundang risiko besar kegagalan Wawasan 2020.

Segera laksanakan Transformasi Ekonomi Negara (TEN)

Wawasan 2020 kini berbaki 10 tahun sahaja. Rancangan Malaysia ke Sembilan (RMK9) akan melabuhkan tirai penghujung tahun 2010 untuk membuka laluan bagi Rancangan Malaysia ke Sepuluh (RMK 10). Kita lega kerana model ekonomi baru sudah hampir sedia. Bagi menyokong pelaksanaan model ekonomi baru ini, satu inisiatif Transformasi Ekonomi Negara (TEN) secara besar-besaran yang merentasi semua sektor dan segenap lapisan masyarakat wajar dilancarkan. RMK-10 dan model ekonomi baru yang akan dilancarkan dalam tahun 2010 mesti digandingkan bersama agar Malaysia berjaya menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju 10 tahun dari sekarang. Dalam semangat yang sama TEN akan meralisasikan hasrat negara untuk menjadi antara 10 negara terbaik dalam konteks penarafan daya saing dan ease of doing business.

Keseluruhan agensi awam dan swasta dan setiap warga Malaysia bertangunggjawab menggerakkan TEN secara serentak seperti sang labah-labah berkaki lapan. Halatuju dan signal yang jelas dari perancang pusat amat penting bagi memastikan kesemua kaki (agensi awam, pihak swasta, masyarakat) mampu menterjemahkan tindakan yang perlu dilaksanakan. Gerakan kaki yang lapan perlu diselaraskan, dipantau dan berinteraksi secara berterusan dengan perancang pusat. Tindakan kolektif ini kritikal bagi menggerakkan sang labah-labah (Malaysia) ke hadapan dan berjaya sampai ke tempat yang dituju.

Pengoperasian dan fokus TEN

Rangka pengoperasian TEN disasar kepada penghasilan matlamat akhir bersandarkan kepada beberapa bidang keberhasilan utama yang disusuli oleh strategi-strategi tindakan utama dan petunjuk pencapaian utama (KPI) yang jelas. Seperti pemandu yang bertanggungjawab atas kejayaan pencapaian enam KRA Nasional, TEN beroperasi berdasarkan beberapa ‘KRA TEN’.

Inisiatif TEN harus tertumpu kepada beberapa ‘lever’ utama dalam menghasilkan pertumbuhan berimpak besar yang berkualiti dan mampan. Malaysia perlu membangunkan sumber-sumber pertumbuhan baru yang berpotensi tinggi serta mencapai tahap dominan global. Negara perlu keputusan yang jitu dan fokus dalam menggerakkan sumber dan membangunkan ekosistem yang diperlukan.

Dr Noor Azlan Ghazali
Date : 10 Jan 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan