Jumaat, 22 Januari 2010

SapuraCrest Petroleum Bhd. (SapuraCrest):Dapat kontrak RM248 juta

KUALA LUMPUR 22 Jan. - SapuraCrest Petroleum Bhd. (SapuraCrest) menerusi anak syarikatnya, Offshore International FZC (OIF) telah dianugerahkan kontrak kecil bernilai AS$75 juta (RM247.5 juta) oleh Larsen & Toubro Ltd. (L&T) dari India.

SapuraCrest memiliki pegangan 40 peratus dalam OIF.

SapuraCrest dalam kenyataannya di sini berkata, kontrak kecil itu adalah untuk pengangkutan dan pemasangan empat jaket platform bagi Oil and Natural Gas Corporation (ONGC) di MHN Field, pesisir Mumbai.

Ia adalah sebahagian daripada kontrak utama kejuruteraan, pemerolehan, pemasangan dan penempahan (EPIC) yang diperoleh oleh L&T daripada ONGC.

Majlis memeterai kontrak itu yang diadakan di Chennai, India turut disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang mengadakan lawatan rasmi ke negara itu.

Naib Pengerusi Eksekutif SapuraCrest, Datuk Seri Shahril Shamsuddin berkata, OIF dijangka memulakan kerja-kerja luar pesisir pada pertengahan bulan November tahun ini dengan menggunakan kapal LTS3000.

"Kapal sepanjang 160 meter bernilai kira-kira AS$170 juta (RM561 juta) kini dibina di Singapura dan dijangka siap bulan ini," katanya dalam kenyataan itu.

LTS3000 adalah milik bersama SapuraCrest dan L&T yang juga memiliki pegangan 60 peratus OIF.

LTS3000 akan dikendalikan oleh kira-kira 270 pekerja dan menyediakan perkhidmatan pemasangan luar pesisir termasuk pemasangan paip dasar laut dan platform di Timur Tengah, Asia Tenggara dan Australia, selain India.

Shahril berkata, selain India, penglibatan SapuraCrest dalam industri petroleum dan gas turut meliputi Asia Tenggara, Australia, Jepun dan Rusia.

"Penglibatan kami di negara-negara berkenaan pada masa ini, memberikan pulangan kontrak bernilai lebih AS$500 juta (RM1.65 bilion),'' kata beliau yang menjangkakan peningkatan tempahan mendadak di India.

Beliau percaya penglibatan kumpulannya dalam industri minyak dan gas (O&G) terutamanya di India mampu menjana pertumbuhan tinggi.

Jelasnya, SapuraCrest sedang berusaha memulakan kerjasama dengan pihak tempatan sebagai sebahagian daripada strategi serantaunya.

"Ini selaras dengan matlamat kumpulan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap kontrak tempatan sekali gus mempunyai kehadiran kukuh di peringkat antarabangsa.

"Kami yakin dengan usaha ini kerana India merupakan salah satu pasaran paling pantas berkembang di dunia selain China," kata beliau lagi.

Tambahnya, industri petroleum dan gas di India diyakini akan berkembang pesat seiring dengan kenaikan permintaan serantau terhadap tenaga, minyak mentah dan gas.

Beliau juga berkata, SapuraCrest akan meneruskan perjanjian dengan L&T bagi mengukuhkan kehadiran dalam pasaran Timur Tengah.

"Saya melihat pasaran Timur Tengah bakal memberikan keuntungan kepada SapuraCrest dan rakan kongsinya kerana kontrak EPIC melibatkan pelbagai skop kerja yang merupakan aktiviti teras bagi kedua-dua syarikat ini," jelasnya.

Menurut beliau, pemangkin utama kejayaan syarikat adalah penggunaan LTS 3000, Sapura 3000 dan Quippo Prakash, kapal seberat 2,000 milik bersama Quippo Prakash yang dijangka siap bulan depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan